KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM25 juta yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 hari ini akan dimanfaatkan untuk memperkasakan peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dalam membantu masyarakat setempat.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini terdapat 911 PEDi di seluruh negara dan 186 lagi akan dibangunkan.

"Peruntukan RM25 juta itu akan digunakan untuk membolehkan PEDi memacu ekonomi digital dalam kalangan masyarakat setempat," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata kerajaan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, akan memperkasakan peranan PEDi untuk membantu peniaga kecil dengan pengetahuan teknologi komunikasi dan maklumat (TMK) dan e-dagang.

"Sudah pasti peruntukan sejumlah RM25 juta untuk memperkasakan PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri akan dapat menjadi pemangkin kepada ekonomi masyarakat setempat," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini pada Jumaat.

Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Anwar di Dewan Rakyat hari ini, peranan PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri juga akan terus diperkasa untuk menyokong pengusaha kecil menjual produk secara dalam talian dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM25 juta.

Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan, dengan RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Ini adalah belanjawan kedua dibentang Anwar, yang juga Menteri Kewangan sejak pembentukan kerajaan Perpaduan pada Nov 2022. Pada Februari tahun ini, Anwar membentangkan belanjawan yang disemak semula berjumlah RM388.1 bilion.

-- BERNAMA