GEORGE TOWN: Peruntukan RM4.61 juta bagi Bantuan Sekolah Agama Rakyat (BSAR) Pulau Pinang yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam akan memperkasa serta terus memajukan institusi itu.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata ia sekali gus memastikan institusi pendidikan agama itu dapat meneruskan peranannya menyebarkan ilmu agama kepada anak-anak di negeri ini.
"Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang sentiasa membantu dan prihatin dengan pendidikan agama di negeri ini, kita harap peruntukan pada tahun ini dapat meningkatkan lagi pendidikan agama anak-anak kita.
"Peruntukan itu membuktikan pihak kerajaan sememangnya komited dan prihatin terhadap perkembangan pendidikan Islam di negeri ini dan kami bertekad terus memajukan sekolah-sekolah agama di sini dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.61 juta bagi BSAR Pulau Pinang untuk tahun ini dalam usaha memperkukuh institusi pendidikan agama di negeri itu.
Anwar dilaporkan berkata peruntukan tersebut meliputi Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) sebanyak RM1.37 juta, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) (RM541,740) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) (RM394,750).
Sementara itu bagi Sekolah Tahfiz diluluskan peruntukan sebanyak RM191,740, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) diberi RM184,700, sekolah pondok sebanyak RM160,000 dan Tadika Islam (TADIS) RM63,830.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri Pulau Pinang turut meluluskan RM500,000 bagi KAFA Menengah Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan RM1.2 juta bagi Zakat Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIPP Mohd Fitri Ibrahim ketika dihubungi Bernama berkata pihak YIPP merakamkan penghargaan dan terima kasih Perdana Menteri yang telah menunjukkan keperihatinan terhadap perkembangan pendidikan Islam untuk remaja Muslim di Pulau Pinang.
Katanya sumbangan itu adalah pengiktirafan kepada kerajaan negeri dalam usaha memartabatkan pendidikan Islam yang diterajui yayasan itu.
"Saya juga berharap agar usaha murni membentuk akhlak baik remaja Muslim dengan program KAFA Menengah ini akan dikembangkan juga ke negeri lain. Ini kerana program ini terbukti memberikan manfaat besar kepada remaja Islam," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Fitri berkata kerajaan negeri menerusi YIPP telah melakukan inovasi dengan memperkenalkan KAFA untuk pelajar sekolah menengah sebagai kesinambungan KAFA sekolah rendah pada 2020.
Katanya KAFA Menengah Pulau Pinang dikhususkan untuk pelajar Tingkatan 1 hingga 4 yang belajar di sekolah menengah harian secara sukarela dan antara penekanan program itu adalah pengajian al-Quran.
"Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua remaja Islam di Pulau Pinang dapat membaca al-Quran dengan tartil dan sekali gus membasmi buta al-Quran dan keunikan utama Kelas KAFA Menengah adalah dilaksanakan di masjid pada waktu malam dari jam 7 hingga 10 malam, tiga kali seminggu.
"Remaja yang mengikuti KAFA Menengah ini akan terlebih dahulu bersolat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di masjid. Ini dapat mendekatkan remaja dengan institusi masjid dan secara tidak langsung program ini dapat mengimarahkan masjid dan melahirkan remaja yang cintakan masjid," katanya.
Beliau berkata program itu kini dilaksanakan di 13 masjid melibatkan 600 pelajar dengan dibantu 40 guru.
Tambahnya YIPP dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang kini dalam proses mengembangkan KAFA Menengah ke 50 masjid lagi di seluruh negeri.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Jul 17 2023

Ahmad Zakiyuddin berkata, ia sekali gus memastikan institusi pendidikan agama itu dapat meneruskan peranannya menyebarkan ilmu agama kepada anak-anak di negeri ini. - Gambar fail/BERNAMA

Polis buka 15 kertas siasatan penipuan pelaburan saham didalangi 'Datuk'
Dalam tempoh 19 Jan hingga Khamis lepas, pihaknya menerima 32 laporan membabitkan kes berkenaan yang melibatkan sebuah syarikat dengan kerugian lebih RM1.3 juta.
Penindasan etnik Rohingya ujian kredibiliti ASEAN
Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, peranan Malaysia datang dengan harapan dan jangkaan yang tinggi dalam mencari penyelesaian kepada krisis tersebut.

KKM sedia bekerjasama tangani peningkatan CKD
KKM alu-alukan pandangan semua pihak sama ada NGO, swasta mahupun agensi kerajaan berkaitan untuk menghasilkan inisiatif yang berkesan.
Kerajaan tidak campur urusan penguatkuasa
Anwar menegaskan kerajaan tidak mencampuri urusan badan penguat kuasa dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak.

Ismail Sabri masih perlu pemantauan rapi doktor
Ismail Sabri dilaporkan telah sedar sepenuhnya petang semalam namun masih memerlukan pemerhatian rapi daripada doktor.
Australia umum USD5.4 bilion untuk Medicare
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengumumkan suntikan dana tambahan bernilai USD5.4 bilion bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara, dengan tujuan menampung lebih banyak kos lawatan ke doktor, lapor Xinhua.
![[KOLUMNIS] Kerjasama rakyat, industri realisasikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia [KOLUMNIS] Kerjasama rakyat, industri realisasikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia](https://resizer-awani.eco.astro.com.my/tr:w-177,h-100,q-100,f-auto/https://img.astroawani.com/2025-02/71740286728_Renewableenergy.jpg)
[KOLUMNIS] Kerjasama rakyat, industri realisasikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia
Malaysia telah mencapai 28 peratus dalam campuran bahan api setakat Oktober 2024.
Lebih 18,000 orang berhimpun di Istana Maharaja Jepun raikan hari keputeraan
Lebih 18,000 orang berhimpun dalam cuaca sejuk di Istana Maharaja Jepun bagi meraikan hari keputeraan Maharaja Naruhito.

FAMA tingkat 30 peratus bekalan kelapa di seluruh negara
FAMA membawa masuk sejumlah 640 metrik tan kelapa dengan peningkatan 30 peratus yang diimport termasuk dari Indonesia.

FAMA kaji harga lantai belian sayur dan buah ladang kontrak
Kajian harga lantai bagi produk di bawah seliaan FAMA akan dibuat dua tahun sekali dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Pertanian.

Peruntukan BSAR di Pulau Pinang perkasa, terus majukan sekolah agama
Peruntukan RM4.61 juta bagi Bantuan Sekolah Agama Rakyat (BSAR) Pulau Pinang yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam akan memperkasa serta terus memajukan institusi itu.