KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bersedia menerima kemasukan pelabur asing dan tempatan untuk membuka perusahaan dan bertapak di negeri ini, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, sebelum ini, wujud halangan terhadap perkara tersebut disebabkan suasana politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan.

"Pada masa lepas, ada faktor halangan, (menyebabkan) orang tak datang (ke Kelantan). Pertama, suasana politik, sebab kita pembangkang ketika itu.

"Kedua, beberapa peraturan berhubung tanah dan seumpamanya, yang ketat.

"Jadi, kita harap dengan perubahan iklim politik, kita mungkin boleh beri ruang terbuka kepada pelabur luar Kelantan.

"Anak Kelantan pun ramai hendak balik, tetapi pada masa lepas dia takut-takut, dan teragak-agak, kalau ada tekanan dan sebagainya," kata Mohd Amar di sini semalam.


 
Katanya, dengan kerajaan pusat dan negeri kini sehaluan, rancangan untuk menarik pelaburan perlu dilaksanakan supaya anak-anak Kelantan dapat meraih peluang pekerjaan di negeri sendiri.

Kerajaan Kelantan dan pusat juga sudah merancang beberapa projek pembangunan untuk meningkatkan keupayaan prasarana negeri.

Mohd Amar berkata, pihaknya mengalu-alukan anak-anak Kelantan yang bertapak di luar supaya pulang untuk membangunkan negeri kelahiran mereka.