KUALA LUMPUR: Musim kedua penanaman padi di Tanjung Karang pada Julai lepas, tidak seperti yang diharapkan pesawah apabila cuaca panas yang dijangka tidak menjadi kenyataan, sebaliknya hujan lebat melanda dengan kerap.
Akibatnya, beberapa kawasan tanaman padi di utara Selangor itu ditenggelami air dan merosakkan anak benih padi yang menyebabkan pertumbuhannya terbantut, bermakna hasil yang dijadualkan dituai pada November ini juga akan merosot.
Ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim ini bukan hanya melibatkan Tanjung Karang dan kawasan berhampiran seperti Sekinchan hingga Sabak Bernam yang bersempadan dengan Perak, tetapi berlaku di seluruh negara.
Perubahan iklim ini berlaku susulan fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia yang kini berada pada tahap membimbangkan, dan jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan bencana alam lebih dahsyat.
Menurut seorang pesawah, Fairuz Zzaini Mohd Toif, 36, perubahan cuaca mula memberi kesan kepada tanaman padinya sejak 10 tahun lalu, namun semakin kerap dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Katanya paling buruk ialah pada musim penanaman tiga tahun lepas apabila kawasan itu dilanda musim panas yang berpanjangan dan membantutkan tumbesaran benih padi, sekali gus hasil tuaian juga berkurangan.
"Cuaca sekarang sudah tidak terjangka. Musim tengkujuh contohnya yang biasa berlaku pada hujung bulan 11 (November), tapi tahun ini bulan September hujan turun dengan kerap dan lebat berserta ribut.
"Apabila air laut pasang, banjir berlaku sehingga sawah ditenggelami air dan tanaman padi banyak yang rebah disebabkan ribut kuat," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Dia yang mengusahakan kira-kira 12 hektar sawah warisan keluarganya sejak 15 tahun lalu, berkata pendapatannya merosot hampir 60 peratus semusim sejak tiga tahun lepas.
Kemerosotan pendapatan itu bukan sahaja disebabkan penurunan hasil tuaian tetapi juga kerana gred padi yang rendah selain terpaksa mengeluarkan modal lebih besar bagi menangani kesan perubahan cuaca, sama ada cuaca panas dan kemarau atau hujan lebat.
"Ketika El Nino yang menyebabkan panas melampau, air terpaksa dipam ke sawah bagi memastikan keperluan air mencukupi untuk padi membesar dan mengeluarkan hasil yang baik, manakala apabila hujan lebat dan banjir, pesawah terpaksa pula mengeluarkan modal baharu untuk (menggantikan) anak benih yang rosak bagi penanaman semula.
"Perubahan cuaca yang berlaku ini juga menyebabkan kemunculan penyakit atau perosak baharu yang sebelum ini tidak pernah ditemukan. Penyakit baharu ini pula mempunyai daya tahan sangat tinggi dan ini memerlukan pelaburan yang besar untuk racun perosak," jelasnya.
Masalah sama turut dihadapi Suhaili Samsuri, 40, yang mengusahakan sawah padi di Sekinchan.
Menurutnya, sejak 2000 hingga sekarang, perubahan cuaca semakin ketara dan berlaku dengan lebih ekstrem, sama ada panas atau hujan, sekali gus menjejaskan hasil dan kualiti padi yang dikeluarkan.
"Apabila cuaca panas, suhunya terlalu tinggi dan ini tidak sesuai untuk padi yang sentiasa memerlukan air, manakala kadar hujan yang lebat dan ekstrem pula menyebabkan banjir di sawah dan turut mengganggu tumbesaran padi sehingga ada tanaman padi mati.
"Makhluk perosak baharu juga turut datang bersama perubahan cuaca ini dan merebak terlalu cepat dari satu lot ke lot lain, sekali gus menjadi punca kos racun turut meningkat hingga 30 peratus," katanya.
Untuk rekod, anggaran nilai kerosakan bagi penanaman padi berdasarkan data permohonan Tabung Bencana bagi tempoh 2017 hingga sekarang, menunjukkan nilai kerosakan akibat banjir ialah sebanyak RM128.8 juta dan akibat kemarau RM21.6 juta.
Hakikatnya, perubahan iklim bukan sahaja memberi kesan fizikal kepada alam tetapi juga terhadap sektor pertanian khususnya tanaman makanan, sekali gus mengancam jaminan makanan yang telah mula menunjukkan kemerosotan.
Ini bukan polemik baharu, sebaliknya sudah menjadi perhatian di peringkat global sejak hampir tiga dekad lepas. Namun hingga kini masih belum nampak usaha dan tindakan serius diambil oleh beberapa kuasa besar yang boleh menghasilkan perubahan positif dalam isu iklim, sepertimana termaktub dalam pelbagai perjanjian pengurangan kesan GHG.
Ini bermakna negara perlu bersedia dengan langkah-langkah lebih efektif termasuk dasar kerajaan bagi mengurangkan kepelbagaian ancaman akibat perubahan iklim yang tidak terduga, kata Dr Saiful Irwan Zubairi, pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Katanya, perbincangan di peringkat global memberi fokus kepada kemusnahan terhadap jaminan makanan dunia, terutama dengan pengurangan pengeluaran makanan dan keberhasilan sektor agrikultur dan perikanan.
Topik ini menjadi isu yang hangat kebelakangan ini bersandarkan kepada model pembuktian kesan gas rumah hijau semasa dan masa depan, antaranya Laporan Kumpulan Kerja Pertama Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) 2021 yang menjangkakan suhu permukaan bumi meningkat dari 1.1 hingga 6.4 darjah Celsius menjelang 2100.
Jangkaan itu berdasarkan elemen pemodelan hierarki terkini iaitu Earth System Models of Intermediate Complexity dan Atmosphere-Ocean General Circulation Models (AOGCMs).
"Secara asasnya, terdapat dua faktor pencetus utama yang memberikan impak kerugian dan kerosakan kepada produktiviti sektor agrikultur, iaitu peningkatan suhu dan corak perubahan taburan hujan yang tidak menentu.
"Perubahan corak cuaca boleh memberi kesan kepada pengurangan pengeluaran makanan dan sumber hasilan agrikultur yang mana perubahan suhu yang terjadi secara langsung memberi kesan kepada struktur habitat, bekalan makanan dan keberadaan sumber sedia ada," katanya kepada Bernama.
Antara perkara utama dalam perubahan iklim ialah jangkaan peningkatan paras air laut yang akan menenggelamkan tanah agrikultur yang subur di kawasan yang berada di bawah paras laut seperti Belanda dan Jakarta, Indonesia.
Namun, data terkini cerapan perubahan imbangan jisim ais di Artik (Ogos, 2021) yang dikeluarkan oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA), menunjukkan julat pencairan dan pembentukan ais adalah stabil sejak ia dicerap pada 2002.
"Indikator ini belum menunjukkan sebarang kesan besar perubahan iklim semasa dunia dan kerana itu ia wajar diambil perhatian serius dalam persediaan rapi menghadapi krisis bencana alam pada masa hadapan," katanya.
Pakar bidang teknologi makanan itu juga menjelaskan peningkatan suhu dunia akan memberikan tiga peringkat impak terhadap jaminan makanan iaitu impak berterusan, sementara dan kekal.
Impak berterusan akan menyebabkan perubahan hasil akibat peningkatan tahap air masin di kawasan berdekatan pesisir pantai yang kebanyakannya perkampungan nelayan, manakala impak sementara akan meningkatkan kegagalan penuaian disebabkan corak cuaca yang ekstrem sehingga mempengaruhi kemunculan makhluk perosak dan wabak penyakit yang tidak terjangka akibat perubahan mendadak.
Impak kekal pula adalah kehilangan tanah kekal dan tidak dapat dipulihkan disebabkan oleh kenaikan paras laut, katanya.
"Ekosistem marin juga akan turut terancam disebabkan faktor-faktor perubahan iklim persekitaran seperti peningkatan suhu dan kemasinan air laut yang mengganggu kestabilan ekosistem dan rantaian pemakanan kompleksnya," kata beliau.
Selain itu, perubahan iklim juga akan memberi impak kepada sistem semula jadi dan kehidupan manusia seperti pengeluaran makanan dan rantaian pasaran komoditi dengan implikasinya terhadap ketersediaan makanan dan keupayaan untuk diakses oleh masyarakat.
Oleh itu, pembuat dasar sedia ada bakal berdepan dengan pelbagai kesukaran yang tidak terjangka dalam menilai dan memperhalusi ancaman yang akan terjadi bagi memastikan jaminan makanan kekal konsisten.
Namun, kerajaan boleh mengambil langkah-langkah drastik untuk jangka panjang dan pendek. Contohnya untuk jangka panjang, kerajaan boleh memperkenalkan geran penyelidikan khas bagi meningkatkan daya tahan tanaman (manipulasi genetik) dan sumber tanah yang dapat memperkaya sumber elemen makro dan mikro genetik yang tinggi untuk cuaca ekstrem.
Selain itu, perlu juga diperkenalkan spesies tanaman baharu yang lebih berdaya tahan dan tempoh penuaian yang singkat agar dapat meningkatkan pengeluaran hasil walaupun dalam keadaan cuaca semasa.
Untuk jangka pendek pula, adalah amat penting bagi kerajaan memperhebat kempen gaya hidup dan diet pemakanan alternatif dan mampan bagi mengurangkan lagi kesan GHG yang kian meningkat.
"Pengambilan diet yang sihat dan mampan antaranya ialah pengambilan sumber bijiran, buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran.
"Proses mitigasi perubahan diet sebegini bergantung sepenuhnya pada pilihan pengguna dan tahap kesedaran mereka terhadap isu ini," katanya.
Semua ini sangat bergantung pada dasar semasa kerajaan berdasarkan kepada tahap kehidupan sosial masyarakat, budaya, alam sekitar, faktor tradisi dan keupayaan sumber pendapatan semasa penduduk, jelas beliau.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Oct 04 2021
Perubahan iklim ini berlaku susulan fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau. - Gambar hiasan
EPL: Salah jaring gol bersejarah, Liverpool bangkit atasi Leicester
Jordan Ayew membuka jaringan seawal minit keenam tetapi ia masih belum cukup untuk mengeluarkan mereka dari zon penyingkiran.
India berkabung atas kematian bekas PM Manmohan Singh, sanjung legasi reformasi ekonomi
Singh, yang meninggal dunia pada usia 92 tahun di New Delhi malam Khamis, merupakan tokoh ekonomi dan pemimpin yang sangat dihormati.
Tindakan Pas politikkan sambutan Krismas tidak hormat hak rakyat berbilang bangsa - DAP
Tiga Ahli CEC DAP berkata, kepelbagaian etnik, ras, serta suku kaum di Malaysia perlu diraikan, difahami dan saling dihormati,
Anwar ucap selamat ulang tahun kepada Ramos-Horta
Anwar memuji Ramos-Horta sebagai seorang sahabat baik dan individu sejati dalam memperjuangkan kebebasan serta keadilan.
Tiga maut, empat cedera parah dalam kemalangan bas di utara Norway
Kejadian berlaku berhampiran Raftsundet di kepulauan Lofoten, destinasi pelancongan terkenal di utara Norway.
EPL: Gol dramatik Muniz buat Chelsea tersungkur di laman sendiri
Pertukaran pemain yang dilakukan Marco Silva pada lewat permainan membuahkan hasil yang cukup lumayan.
Kazakhstan tegaskan Azerbaijan, Rusia tidak terlibat dalam siasatan forensik nahas pesawat
Larangan itu berdasarkan prosedur yang ditetapkan dalam Kod Jenayah Kazakhstan.
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
Pada pukul 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4665/4715 berbanding dolar AS daripada 4.4670/4715 ketika ditutup semalam.
Risiko & Peluang 2025: Menyingkap dinamika pergolakan pasaran
Ikuti perkongsian eksklusif bersama Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof tentang landskap ekonomi terkini dan potensi hala tuju Malaysia pada 2025.
AWANI Ringkas: Kesalahan khalwat berulang
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
COP29 setuju perjanjian AS$1.3 trilion untuk negara miskin atasi perubahan iklim
Dana itu bertujuan membantu negara membangun meningkatkan perlindungan iklim dan menyesuaikan diri dengan kesan buruk pemanasan global, seperti kemarau, ribut dan banjir yang semakin kerap.
10 maut tanah runtuh akibat hujan lebat di timur Congo
Sekurang-kurangnya 10 orang, kebanyakannya kanak-kanak maut manakala tiga lagi cedera selepas kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di timur Congo.
COP29: Negara kaya akhirnya setuju sumbang AS$300 bilion setahun hadapi krisis iklim
Negara-negara maju akhirnya bersetuju menyediakan AS$300 bilion setiap tahun menjelang 2035 kepada negara membangun bagi membantu mereka menghadapi impak perubahan iklim yang semakin parah.
COP29: Penyertaan Malaysia beri kemajuan terhadap matlamat pelepasan karbon sifar bersih
Malaysia buka inisiatif inovatif dan pelaburan besar untuk membolehkan negara melangkah lebih jauh ke arah menjadi negara pelepasan karbon sifar bersih.
COP29 gesa negara maju beri sumbangan, transformasi tenaga hijau tidak akan berjaya tanpa dana - Pembantu Khas Presiden Azerbaijan
COP29 kini digelar sebagai COP Pendanaan kerana tumpuan utama yang jelas terhadap keperluan memenuhi komitmen sumbangan kepada dana iklim.
Manfaatkan kebijaksanaan Orang Asli tangani ketidaktentuan alam - Pakar
Kebijaksanaan Orang Asli mendepani pelbagai cabaran dan ketidaktentuan alam perlu dijadikan contoh dalam modul latihan berkaitan kelangsungan kepada komuniti.
Malaysia perlu bantu Indonesia dalam proses transisi tenaga boleh baharu - Pakar
Malaysia perlu membantu Indonesia dalam proses transisi tenaga boleh baharu memandangkan pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara sedang pesar dibangunkan.
COP29: Tidak perlu anjur COP30 jika pemimpin tidak tegas soal penuhi ikrar dana iklim - Datuk Bandar KL
Pemimpin-pemimpin dunia perlu tegas untuk memuktamadkan perihal pendanaan iklim yang sudah dibincangkan sejak Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP) edisi-edisi lalu.
PBB desak tindakan segera tangani krisis iklim untuk lindungi negara pulau kecil
Antnio Guterres, menggesa dunia untuk meningkatkan pembiayaan bagi Dana Kerugian dan Kerosakan yang ditubuhkan bagi membantu negara-negara pulau kecil terjejas akibat perubahan iklim.
COP29: AS jamin tetap komited tangani pemanasan global
Tahun 2024 mungkin akan memecahkan rekod suhu baharu dan matlamat Perjanjian Paris kini berada dalam bahaya besar.