KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang untuk mengecilkan saiz Jemaah Menteri termasuk meniliti semula pembayaran pencen melibatkan bekas wakil rakyat.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perkara itu antara yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2023.

Cadangan itu dikemukakan beliau susulan garis panduan penjimatan perbelanjaan awam yang dikeluarkan Kementerian Kewangan seiring usaha mengoptimumkan perbelanjaan.

BACA: Teliti beberapa perkara pelaksanaan penjimatan perbelanjaan perkhidmatan awam - Cuepacs

“Persoalannya sekarang ini ialah saiz Jemaah Menteri itu terlalu besar untuk negara seperti kita ini.

"Jadi, kalau kita dapat kurangkan kementerian, saya yakin apa yang disuarakan oleh Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) iaitu tidak cukup kakitangan di beberapa sektor itu dapat ditampung apabila sebahagian kakitangan daripada kementerian ditutup itu dapat dipindahkan kepada sektor-sektor yang memerlukan khidmat.

Niaga AWANI: Signifikan penjimatan perbelanjaan kerajaan

“Kita nak tengok juga apa komitmen kerajaan dari segi (penggajian) Menteri dalam Bajet 2023. Adakah mereka mahu berkorban sedikit gaji tersebut? Apa yang penting juga kita mahu tengok isu pencen menteri termasuk juga pencen Exco,” katanya dalam temu bual menerusi program Niaga AWANI pada Isnin.

BACA: MOF keluar pekeliling baharu, arah penjimatan besar-besaran kerajaan

BACA: Kerajaan tangguh, tidak teruskan projek belum bermula

Jumaat lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidon mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan berkait Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam seiring usaha mengawal dan mengurus kewangan kerajaan secara berdisiplin dan berhemah.

[INFOGRAFIK] Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam