Lian Ker berkata, kenyataan untuk menghentikan kongres bumiputera oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu adalah laporan yang salah dan bukan pandangan disuarakan dari beliau.
Ujar beliau, apa yang ditekankan olehnya adalah Kerajaan Madani perlu membantu menghentikan stigma kegagalan Kongres Ekonomi Bumiputera dan dapat mengubah nasib penganjuran tersebut yang kononnya didakwa gagal.
“Kenyataan menghentikan kongres bumiputera oleh NGO adalah kenyataan dan laporan yang salah dan bukanlah kenyataan daripada saya.
“Kenyataan saya adalah bersasar kepada kegagalan Kongres Ekonomi Bumiputera untuk meningkatkan kedudukan ekonomi bumiputera setelah berpuluh tahun kongres ini diadakan disebabkan budaya rasuah dan salah guna kuasa.
“Penekanan saya adalah pada memerangi rasuah.
"Saya juga menyarankan Kerajaan Madani supaya mara ke hadapan dengan menerajui kongres ekonomi merangkumi semua di Malaysia supaya ekonomi negara dapat dipertingkatan demi untuk menyelesaikan masalah ekonomi secara menyeluruh dengan melibatkan semua,” katanya dalam kenyataan dalam siaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Lian Ker yang juga bekas Naib Presiden MCA itu, tindakan memutar belit kenyataan beliau itu disifatkan sebagai gejala yang tidak sihat dalam memupuk semangat perbincangan secara ‘madani’ ketika era kerajaan masa kini.
“Saya bukan hendak menidakkan hak orang Melayu ataupun berniat mempersoalkan pelaksanaan kongres bumiputera ini tetapi apa yang cuba saya sampaikan ialah sudah tiba masanya kongres bumiputera ini tidak lagi ditunggang demi meraih ‘political brownie points’ (markah politik) atau dijadikan platform kesempatan oleh sesetengah pihak yang oportunis.
”Saya berharap Kerajaan Madani mampu untuk mengubah stigma terhadap kongres bumiputera ini dan benar-benar menganjurkan kongres yang menguntungkan rakyat dan negara dengan rangka jangka masa panjang.
“Selain itu, berupaya membawa kemajuan yang kekal kepada keseluruhan rakyat dan Melayu dan bukannya keuntungan sementara kepada beberapa lapisan atasan masyarakat Melayu dengan memperkudakan agenda Melayu,” ujarnya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian