Kementerian Luar Negeri Malaysia berkata, pertempuran bersenjata antara sekumpulan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan pasukan keselamatan Filipina di Zamboanga, Selatan Filipina, merupakan isu dalaman Republik Filipina.

Malaysia yakin Kerajaan dan pihak berkuasa Filipina akan mengawal keadaan dan memulihkan semula keamanan di kawasan terbabit.

Malaysia menghormati prinsip dan semangat ASEAN untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara-negara anggota ASEAN yang lain.

Kementerian Luar Negeri telah mengarahkan Kedutaan Besar Malaysia di Manila dan Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City supaya mengambil langkah bagi membantu rakyat Malaysia yang mungkin terjejas akibat pertempuran di Zamboanga.

Perwakilan-perwakilan Diplomatik telah berhubung dengan seorang rakyat Malaysia yang berada dalam keadaan selamat di Zamboanga City dan setakat ini tiada rakyat Malaysia lain yang berada di kawasan terbabit.

Kementerian juga menasihatkan rakyat Malaysia yang berhasrat membuat perjalanan ke Zamboanga dan kawasan-kawasan yang kurang selamat untuk menunda hasrat mereka buat sementara waktu sehingga keadaan keselamatan kembali pulih.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan keselamatan Malaysia di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang perairan Sabah yang bersempadan dengan Selatan Filipina bagi membenteras kemungkinan ancaman keselamatan ekoran perkembangan di Zamboanga.

Sebagai Fasilitator kepada proses damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Malaysia tetap komited dengan usaha ke arah penyelesaian konflik Selatan Filipina.

Malaysia juga yakin bahawa Kerajaan Filipina dan MILF akan meneruskan proses damai ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang perpanjangan di Selatan Filipina.