KUALA LUMPUR: Personaliti Astro AWANI Essan Yahya selamat diijab kabul dengan buah hatinya, Nurul Syaza Mohd Sahaib dengan sekali lafaz di Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada kira-kira jam 2.54 petang Khamis. 

Pasangan ini dinikahkan oleh bapa Syaza Mohd Sahaib Osman dengan mas kahwinnya seutas gelang emas dalam satu majlis akad nikah serba ringkas yang dihadiri oleh ibu bapa kedua mempelai. 

Menurut Essan atau nama penuhnya Hassan Sallehudin Yahya Hassan, 36, majlis akad nikah berlangsung selama 20 minit dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

"Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan buat kami sekeluarga, walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya bersyukur kerana Allah permudahkan semua urusan kami hari ini," kata Essan ketika dihubungi pada Khamis.

Tambah Essan, dia hanya ditemani oleh ibu dan ayah untuk ke pejabat agama selepas memperoleh surat pelepasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini. 

"Saya menyelesaikan apa yang wajib saya selesaikan, kalau ada rezeki lain nanti, saya berkeinginan untuk berkumpul bersama-sama keluarga, sahabat, kawan-kawan sekerja dan kenalan kami berdua," katanya. 

"Untuk sampai ke tahap itu, kita kena lawan pandemik COVID-19 ini dahulu," tambahnya. 

Mengimbau detik perkenalan pasangan merpati dua sejoli ini, Essan berkata dia mula mengenali Syaza, 24, dalam satu forum di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) lebih dua tahun lalu.  

"Saya dijemput sebagai speaker di forum itu dan Syaza pula merupakan ahli jawatankuasa pengelola forum berkenaan. Kami berkenalan dan mula berkawan secara rapat dari saat itu," kata Essan.

Essan kahwin

Menurut Syaza, dia bersyukur kerana hari yang istimewa dan bersejarah dalam hidupnya diberkati dan dipermudahkan Allah.

"Ahamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar, walaupun berada dalam keadaan PKP, majlis ringkas ini sudah cukup bemakna buat kami berdua," kata Syaza. 

Dilahirkan di Bagan Serai, Perak, Essan mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran radio dan televisyen. Pernah berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV dan Radio, Essan kini memegang peranan Pengarang Kanan di bilik berita Astro AWANI (Saluran 501). 

Syaza dilahirkan di Sungai Bakap, Pulau Pinang dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (bidang) Penyiaran) dari Kolej Universiti Selangor. 

"Saya cukup tertarik dengan personaliti Syaza, dia memahami kerja saya, pandai mengambil hati dan sangat menghormati ibu bapa," tambah Essan.

Astro AWANI menzahirkan jutaan ucapan tahniah kepada Essan dan Syaza. Semoga perkahwinan anda berdua berkekalan sehingga ke akhir hayat.