KUALA TERENGGANU: Persiapan menghadapi sebarang bencana ekoran musim monsun timur laut (MTL) tidak lama lagi, perlu turut mengambil kira kemungkinan berlaku fenomena banjir luar biasa, supaya semua pihak lebih bersedia.

Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata bencana banjir, sememangnya sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk di Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Namun kita belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini termasuk seperti di Selangor, contohnya banjir kilat dan banjir luar biasa, jadi kita kena bersedia.

"Jadi kita telah bincangkan prosedur operasi standard (SOP) baharu jika alami banjir luar biasa di negeri ini, seperti yang berlaku awal Februari lalu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata pihaknya juga telah meminta agensi berkaitan, untuk melihat kembali SOP berkaitan pemindahan mangsa banjir agar ia lebih praktikal.

Tengku Farok Hussin berkata ketika bencana banjir, kadangkala berlaku kesulitan dalam soal memindahkan penduduk terjejas, kerana ada yang enggan berpindah walaupun sudah diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

"Jadi kita sarankan supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tengok kalau ada akta yang boleh dikuatkuasakan berhubung pemindahan mangsa banjir ini, kalau ada dari segi perundangan boleh dibincangkan," katanya.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) NADMA Meor Ismail Meor Akim berkata pihaknya akan melihat, sekiranya boleh dibuat akta atau peraturan berhubung perkara itu.

"Ada dua (pilihan) iaitu buat satu peraturan atau akta untuk wajibkan mangsa banjir berpindah. (Lagi satu) mewajibkan mangsa (yang berpindah) tidak balik semula sesuka hati (ke kawasan banjir).

"Kerana ada kes di Selangor, mangsa ni dah selamat dipindahkan tapi meninggal dunia sebab dia berpatah balik (ke kawasan banjir), tanpa beritahu mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu Tengku Farok Hussin berkata latihan yang diadakan selama dua hari bermula Selasa itu, dilihat sebagai inisiatif yang sangat baik hasil kerjasama NADMA, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan JPBN Terengganu.

"Ia (pelan tindakan kecemasan empangan) pertama kali diadakan, mungkin kita akan adakan lagi untuk perkemaskan lagi SOP yang sudah dibuat setakat ini," katanya.

Program latihan menghadapi risiko bencana empangan itu, melibatkan 26 jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan, selain turut membabitkan 14 agensi di peringkat empat daerah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Simulasi lebih besar (secara fizikal) membabitkan penduduk setempat akan dilakukan pada 26 Okt ini di Hulu Terengganu, kerana ia paling hampir dengan Empangan Kenyir.

-- BERNAMA