KOTA KINABALU: Pembangunan mengikut koridor atau wilayah menerusi Rangka Tindakan Koridor Pembangunan Sabah 2.0 (2021-2030) perlu diperhebatkan terutama di Tawau susulan perpindahan ibu kota negara (IKN) Indonesia ke Kalimantan Timur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, pembangunan wilayah Tawau perlu diberi tumpuan dan fokus terutama dari aspek kemudahan infrastruktur memandangkan daerah itu adalah kawasan paling hampir dengan sempadan Indonesia.

"Kita tidak boleh tertinggil dalam pembangunan wilayah ini. Sabah tidak boleh sekadar menjadi penonton kepada pembangunan negara jiran.

"Kita perlu bangkit, merebut peluang untuk bangun bersama. Mahu atau tidak kita mesti bergerak seiring supaya dapat mencipta kemakmuran bersama. Itu yang dinamakan membangun semangat kejiranan sepulau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Ucapan Dasar Kerajaan yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, ketika merasmikan Pembukaan Penggal Ke-3 Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16.

Ghulam Haidar menambah, sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat semula platform kerjasama serantau menerusi BIMP-EAGA bagi meneroka prospek ekonomi yang boleh dimajukan berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke Kalimantan Timur.

Selain itu, Kerajaan Sabah disaran untuk berbincang dengan Kerajaan Pusat bagi melihat secara terperinci peluang pembangunan koridor di kawasan sempadan Sabah-Kalimantan khususnya di Tawau.

Hal ini katanya penting memandangkan isu keselamatan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.