KUALA LUMPUR: Permohonan bagi Program Biasiswa Maxis 2023 untuk pengajian peringkat sarjana muda, dibuka bermula hari ini.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Maxis Natalia Navin berkata sebanyak tiga kategori biasiswa ditawarkan, iaitu Biasiswa Sarjana Muda Pemimpin Muda Maxis, Biasiswa Sarjana Muda Teknologi Maxis dan Biasiswa Sarjana Muda Wanita Teknologi Maxis.

Beliau berkata rekod prestasi akademik, penyertaan aktif dalam aktiviti kokurikulum serta kemahiran kepimpinan dan interpersonal yang mantap, merupakan antara kriteria yang ditetapkan sebelum 16 bakal pemegang biasiswa dipilih.

"Dengan kemajuan pesat dalam teknologi seperti 5G, kami menawarkan potensi kerjaya yang luas dan pelbagai prospek pekerjaan melalui program biasiswa kami.

"Ini merupakan peluang berharga untuk bakal pemimpin terutamanya dalam bidang telekomunikasi atau ruang teknologi, jadi kami menggalakkan para pelajar untuk mulakan proses permohonan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Program Biasiswa Maxis menawarkan bantuan kewangan untuk yuran pengajian dan faedah lain, yang berkaitan dengan perbelanjaan sara hidup serta peluang latihan dan pekerjaan dengan syarikat itu, selepas tamat pengajian.

Pelajar yang berminat digalakkan melayari https://bit.ly/2023MaxisSP untuk mengetahui lebih lanjut tentang kelayakan dan cara permohonan.

Sejak diperkenalkan pada 2020, Program Biasiswa Maxis telah membiayai lebih 50 pelajar Malaysia di seluruh negara meneruskan cita-cita pengajian tinggi masing-masing.

-- BERNAMA