Ringkasan AI
- Permohonan kemasukan pelajar ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik bagi sesi akademik 2024/2025 telah dibuka sehingga 22 Julai 2024.
- Permohonan dibuka kepada pelajar lepasan Diploma/Diploma Lanjutan Politeknik serta pelajar semester akhir Diploma Politeknik dan Kolej Komuniti sesi II: 2023/2024 tamat latihan industri.
- Mulai sesi akademik 2024/2025, ada tiga program tambahan yang ditawarkan, menjadikan jumlah program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan sebanyak 10. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman web http://ambilan.mypolycc.edu.my.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataan hari ini berkata permohonan boleh dibuat melalui pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my dan pembelian nombor pin tidak diperlukan.
"Permohonan dibuka kepada pelajar lepasan Diploma/Diploma Lanjutan Politeknik dan kepada pelajar semester akhir Diploma Politeknik dan Kolej Komuniti (sesi II: 2023/2024 tamat latihan industri), di bawah program laluan khas," menurut kenyataan itu.
Mulai sesi akademik 2024/2025 tiga program tambahan diperkenalkan, sekali gus menjadikan 10 program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan bagi sesi akademik berkenaan.
JPPKK berkata Pelan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030 di bawah Agenda Pembaharuan Kritikal (CRA) ke-9 adalah mewujudkan politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) sebagai model Politeknik Malaysia masa hadapan dengan menyediakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Advanced TVET).
"Melalui agenda peluasan akses di bawah pelan tersebut juga, mulai sesi akademik 2024/2025, lepasan diploma kolej komuniti dan lepasan asasi TVET, lepasan asasi universiti awam dan lepasan matrikulasi Kementerian Pendidikan boleh memohon program Ijazah Sarjana Muda di politeknik," menurutnya.
Maklumat berkenaan program dan syarat permohonan boleh dirujuk dengan melayari pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my.
-- BERNAMA