PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 9 Mac untuk mendengar permohonan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya di sebuah universiti di United Kingdom akhir bulan ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi pemberita berkata mahkamah menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini.

"Tan Sri Isa memfailkan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya pada 24 Feb lepas," katanya dan menambah mahkamah juga menetapkan 11 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 3 Februari tahun lepas, Isa, 72, disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun sahaja setelah Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Hakim Mohd Nazlan membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan ke atas Mohd Isa.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.

-- BERNAMA