KUALA LUMPUR:Kerajaan disarankan untuk menambah baik Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dengan memberikan subsidi dalam ujian saringan COVID-19 dan juga penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada klinik kesihatan swasta.

Menerusi subsidi tersebut, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Dr Suhaily Mohd Hairon berpendapat, harga ujian saringan COVID-19 dapat dikurangkan sekali gus mampu menggalakkan lebih ramai individu untuk melakukan ujian saringan berkenaan.

“Bantuan tersebut mungkin boleh difokuskan dalam bentuk subsidi ujian saringan COVID-19 atau PPE untuk digunakan klinik swasta semasa membuat penyaringan COVID-19.

“Sekiranya harga ujian saringan COVID-19 tersebut dapat dikurangkan, mungkin kami boleh menggalakkan lebih ramai orang melakukan ujian saringan tanpa perlu pergi ke klinik kesihatan atau hospital awam.

“Ini sekali gus dapat mengurangkan kesesakan dan juga kelewatan ujian saringan COVID-19 di fasiliti kerajaan,” kata Dr Suhaily ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau melihat PERMAI yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu langkah yang tepat dalam memerangi wabak COVID-19 di negara ini.


“Dari segi pakej dan inisiatif yang telah diumumkan, ia melibatkan kerjasama daripada sektor swasta seperti Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan hospital swasta dalam sama-sama membantu kerajaan memerangi pandemik ini.

“Dana tersebut boleh menarik perhatian dan mengalakkan lagi penglibatan hospital swasta dari segi menerima dan merawat pesakit positif jangkitan COVID-19 dan pesakit lain.

“Ia satu langkah yang bertepatan kerana ia dapat meringankan beban dan seterusnya mengurangkan tekanan kepada sistem kesihatan negara kerana kita tahu pada masa sekarang, kes aktif COVID-19 sudah hampir mencecah 39,000 kes,” katanya.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, Muhyiddin mengumumkan PERMAI yang bernilai RM15 bilion pada Isnin.

BACA: PERMAI: RM15 bilion peruntukan untuk rakyat! Ini antara berita gembira diumum Muhyiddin

BACA: Teks penuh pengumuman khas Pakej Bantuan PERMAI oleh Perdana Menteri

Katanya, dana tambahan sebanyak RM1 bilion disediakan, merangkumi hampir 800 juta ringgit kepada Kementerian Kesihatan, dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara dan juga agensi-agensi lain yang terlibat. Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan, serta peralatan PPE terutama kepada petugas kesihatan.

Dalam usaha untuk memerangi wabak COVID-19, kerajaan juga akan menambah lebih 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas pada hujung bulan ini, dengan peruntukan tambahan RM150 juta.

"Pemberian one-off (sekali bayar) sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 kepada petugas barisan hadapan yang lain akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini.

"Bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak COVID-19 berakhir," katanya.

[SIDANG MEDIA] Pengumuman Pakej Bantuan Khas oleh Perdana Menteri | 18 Januari 2021