KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menyarankan agar pengamal media mencari titik keseimbangan dalam laporan berita yang melibatkan sumber tidak didedahkan identitinya.

Beliau menjelaskan, perkara tersebut perlu dilakukan bagi memastikan sumber yang dipetik itu memberikan fakta yang sahih dan tidak menimbulkan fitnah.

Pada masa sama, Fahmi menjelaskan kerajaan menyedari media atau wartawan mempunyai hak tertentu dalam menjalankan tugas masing-masing.

"Mungkin perlu ada titik keseimbangan antara sumber yang dikatakan benar atau tidak benar. Kita juga ambil maklum ada kalangan wartawan, mereka ada hak untuk memastikan keselamatan identiti sumber mereka tapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Shahidan mencadangkan kerajaan mengekang media daripada menyiarkan laporan yang memetik sumber tidak didedahkan identitinya.

Menurut beliau larangan itu wajar bagi mengelakkan sebarang salah lapor daripada media disebabkan mendapatkan maklumat yang tidak sahih.

"Terdapat wartawan yang mengatakan perkataan sumber tetapi sumber itu betul, kenapa kita tidak bagi syarat perkataan sumber tidak boleh disebut?

"Jadi adakah akan dipastikan tidak ada pemberitaan mengikut sumber tetapi mengikut sebenarnya," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu Dewan Rakyat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah memanggil pengurusan sebuah syarikat televisyen berhubung kandungan berita yang dikaitkan dengan fitnah.

Beliau memaklumkan, syarikat tersebut telah enam kali melanggar pelanggaran di bawah Akta 588 termasuk lima kesalahan ketika pentadbiran sebelum ini.