Kerajaan Perlis pada Selasa mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM600 kepada penjawat awam negeri itu dari Gred 1 hingga 54.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata pesara kerajaan negeri turut menerima RM300.

Malah, penjawat awam yang bergred jawatan utama sektor awam (JUSA) di Perlis turut menerima bayaran RM600, katanya.

Selain itu, pesara kerajaan yang dilantik semula oleh Kerajaan Perlis secara 'Contract Of Service' (COS) akan menerima tambahan RM350 daripada RM250 yang dibayar oleh Kerajaan Pusat menjadikan jumlahnya RM600.

"Bantuan Khas Kewangan ini juga akan turut dinikmati oleh kakitangan COS negeri yang melibatkan implikasi kewangan keseluruhan hampir RM698,000 dan pembayaran ini akan dibuat pada 18 Disember ini," kata Azlan semasa berucap membentangkan Belanjawan Perlis 2020 di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini.

-- BERNAMA