KTMB dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu telah menyebabkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang laluan Pelabuhan Klang - Tanjung Malim - Pelabuhan Klang, serta Batu Caves - Pulau Sebang - Batu Caves mengalami gangguan perkhidmatan dan kelewatan daripada jadual asal antara 60 minit ke 120 minit dengan penggunaan satu landasan sahaja.
Selain itu, bagi penumpang perkhidmatan tren ETS yang mengalami kelewatan melebihi dua jam, mereka boleh mendapatkan pemulangan tambang sekiranya tidak meneruskan perjalanan dengan tren.
"Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan oleh kakitangan kumpulan teknikal KTMB bagi memastikan operasi tren kembali seperti biasa," menurut kenyataan itu.
Sepanjang gangguan perkhidmatan ini, KTMB turut menempatkan petugas di stesen dan anggota Polis Bantuan untuk membantu melancarkan pergerakan penumpang terjejas.
KTMB memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas dan mereka juga boleh mendapatkan info semasa melalui media sosial rasmi KTMB serta menerusi kakitangan KTMB yang bertugas di stesen, dan menghubungi Pusat Panggilan KTMB 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB.
-- BERNAMA
