GEORGE TOWN: Perkhidmatan Funikular Bukit Bendera akan ditutup untuk penyelenggaraan berjadual tahunan kali kedua tahun ini, bermula 16 hingga 22 Jun.


Ringkasan AI
  • Perkhidmatan Funikular Bukit Bendera akan ditutup untuk penyelenggaraan tahunan dari 16 hingga 22 Jun dan akan beroperasi semula pada 23 Jun.
  • Penyelenggaraan termasuk menukar 'bogie' bagi koc Mutiara dan pemeriksaan elektrik serta elektronik, di bawah pengawasan jurutera dari Switzerland.
  • Sepanjang tempoh penutupan, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan jip atau laluan mendaki untuk ke puncak Bukit Bendera.


Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan perkhidmatan funikular itu beroperasi semula pada 23 Jun.

"PBBPP menjalankan dua penyelenggaraan berjadual utama pada setiap tahun di bawah pengawasan jurutera pengeluar funikular dari Switzerland bagi memastikan sistem berada dalam keadaan terbaik dan menjalani pemeriksaan keselamatan ketat.

"Penyelenggaraan berjadual tahunan kali kedua itu termasuk menukar 'bogie' bagi koc Mutiara dan pemeriksaan elektrik dan elektronik," menurut kenyataan itu.

Menurut PBBPP pihaknya juga menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan sistem funikular secara harian, mingguan dan bulanan selain pemeriksaan turut dijalankan selepas waktu operasi.

Sepanjang tempoh penutupan, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan jip dikendalikan Persatuan Pemandu Perkhidmatan Jeep Bukit Bendera dengan menghubungi 012-4541255 atau menggunakan laluan mendaki untuk ke puncak Bukit Bendera.

Pengunjung boleh menghubungi PBBPP di 04-8288880 atau menerusi e-mel inquiries@penanghill.gov.my untuk pertanyaan.

-- BERNAMA