Kementerian Kesihatan akan terus memperkasakan usaha bagi mengekang masalah kekurangan doktor pakar dalam pelbagai bidang kedoktoran di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

"Buat masa ini kita menghadapi kekurangan ketara doktor pakar dalam bidang radiologi, patologi dan perubatan kecemasan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Saintifik ke-10 Kementerian Kesihatan dan Akademi Perubatan Malaysia di sini, hari ini.

Dr Subramaniam berkata usaha mengatasi masalah itu adalah bagi memastikan penyampaian mutu perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada seluruh rakyat di negara ini.

Katanya masalah kekurangan doktor pakar juga disebabkan pertambahan kemudahan baharu seperti klinik kesihatan dan hospital di beberapa kawasan baharu.