Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebarang bentuk ketidaktelusan dan penyelewengan akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap institusi yang terlibat, sekali gus menyebabkan mereka tidak lagi berminat untuk bersedekah.
Jelasnya, pemerkasaan institusi infak di Malaysia seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) perlu sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.
“Kita tak boleh minta umat Islam berinfak dan bersedekah, contohnya zakat dibayar kepada MAIWP, infak diberi kepada YAPIEM, tetapi apabila sumbangan itu diterima, agihan tidak dibuat dengan tadbir urus yang baik.
“Sebab itu saya sampaikan kepada semua agensi di bawah saya untuk memastikan tadbir urus dan tatakelola ini dilakukan dengan seketatnya kerana tanpa tatakelola yang baik dan amanah, orang ramai akan hilang kepercayaan.
“Ini semua harus bermula daripada kita, sifat amanah perlu ditekankan dan jangan sekali-kali mengkhianati amanah orang yang berinfak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Serantau YAPEIM (FSY) 2024 yang dianjurkan YAPEIM, pada Rabu.
Dalam ucapannya, Mohd Na’im menegaskan bahawa institusi infaq haruslah berdasarkan prinsip patuh syariah yang menggalakkan pelaburan beretika serta pertumbuhan ekonomi yang bertanggungjawab secara sosial.
Kata Mohd Na’im, sektor infaq dapat memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi umat Islam di Malaysia, namun tatakelolanya harus berada di tahap yang cemerlang bagi memastikan keberkesanan dan kepercayaan masyarakat terus diperolehi.
Jelasnya lagi, perancangan strategik serta pengurusan yang berintegriti akan memberikan nilai tambah dan keyakinan kepada semua pihak untuk berkolaborasi dalam program pembangunan ummah yang dirancang di masa hadapan.