Perkasa memuji langkah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletak jawatan bagi mengambil tanggungjawab atas kemalangan di tapak pembinaan landasan MRT di Kota Damansara yang mengorbankan tiga nyawa.

Naib Presiden Perkasa, Syed Osman Mansor berkata perletakan jawatan itu adalah satu tindakan berani yang penuh berintegriti dan harus dicontohi oleh tokoh profesional dan ahli korporat yang lain serta kakitangan kerajaan dan tokoh-tokoh politik.

"Budaya serupa ini kerap diamalkan di negara Jepun dan Korea yang ada melibatkan Perdana Menteri atau menteri-menteri mereka.

"Di negara Malaysia pula jarang berlaku budaya ini. Oleh kerana tidak mahu mengambil tanggungjawab, maka diberi bermacam alasan dan helah," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Omar yang juga Pengerusi Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa menyifatkan tindakan Azhar itu sebagai "kepimpinan melalui teladan dan kebertanggungjawaban sebenar".

Tambah beliau, bironya berbangga dengan pendirian, keputusan dan prinsip Azhar.

Azhar pada Selasa lepas meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam susulan kemalangan di tapak pembinaan yang membunuh tiga pekerja binaan warga Bangladesh.

Tindakan tersebut, kata Azhar, sebagai bertanggungjawab atas kegagalannya dalam memastikan keselamatan pekerja.

Walau bagaimanapun, Azhar berkata akan kekal menjadi pemerhati dalam proses siasatan insiden tersebut sehingga keputusan dicapai.

Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp dipangku oleh Haris Fadzilah Hassan, yang merupakan Pengarah Perhubungan Pelabur dan Pengurusan Tanah.

Siasatan awal mendapati kontraktor yang terlibat tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) keselamatan secara menyeluruh, mengakibatkan kehilangan nyawa pekerja-pekerja berkenaan.