Anggota polis dan tentera akan ditempatkan di pasar raya untuk memantau pergerakan orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana pihaknya menerima banyak laporan orang ramai bersesak di kawasan premis untuk membeli barangan keperluan harian.

“Nasihat supaya menjarakkan diri satu meter tidak dilakukan. Mereka bersesak-sesak. Jadi, kita sudah setuju, polis dan tentera akan ditempatkan di pasar raya, dan dibantu pihak berkuasa tempatan.

“Mungkin mereka akan membantu untuk memberikan giliran kepada orang ramai memasuki pasar raya dan sebagainya,” katanya pada satu sidang media di sini.



Terdahulu, Menteri Pertahanan itu mengumumkan seramai 50,000 anggota terdiri daripada tentera, polis, RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pihak berkuasa tempatan kini digerakkan untuk membantu memantau pelaksanaan PKP.

“Pada 12 tengah hari ini (22 Mac) akan bermula penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu polis untuk pastikan orang ramai patuh arahan PKP.

“Walaupun terdapat 90 peratus pematuhan, seperti dinyatakan polis, namun sebanyak 10 peratus lagi itu melibatkan kira-kira tiga juta rakyat Malaysia,” kata Ismail Sabri.



Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan kehadiran tentera di kawasan awam.

Ini kerana, katanya, undang-undang dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan bukan di bawah Akta Darurat atau Akta Majlis Keselamatan Negara.

“Justeru, hanya polis yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan dan melakukan tangkapan, dan bukannya tentera,” jelas beliau.



Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ATM akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan beberapa penugasan seperti sekatan jalan raya, rondaan dan hebahan di kawasan berisiko dan berpopulasi tinggi.

Polis juga akan mewujudkan Pasukan Petugas Khas dengan pihak ATM untuk melihat sekiranya terdapat keperluan penambahan dari segi anggota, dan sebagainya.

BACA: COVID-19: Rakyat jangan bimbang dengan penglibatan ATM - Penganalisis

BACA: Hina polis jalan tugas pantau Perintah Kawalan Pergerakan, lelaki direman empat hari

Selain itu, beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri telah digerakkan.

“Kita berharap pematuhan yang lebih tinggi apabila pelbagai agensi penguatkuasa digerakkan untuk melaksanakan PKP,” ujarnya.

BACA: Panglima Angkatan Tentera nafi nota suara kononnya anggota ATM diberi kuasa pukul orang awam

BACA: COVID-19: Tentera dikerah jika gagal patuh Perintah Kawalan Pergerakan - Ismail Sabri