KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menyiasat laporan tentang kelibat seekor harimau belang berkeliaran di kawasan bukit Hulu Paka, Dungun, beberapa hari lalu.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, pihaknya ada menerima laporan tentang penemuan harimau belang dewasa itu pada Ahad lalu sebelum pemantauan dibuat di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan rakaman video tular, berkemungkinan itu adalah harimau belang betina dengan berat kira-kira 100 kilogram (kg)," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurut Kean Seong, sebelum ini Perhilitan ada menerima aduan sama di kawasan tersebut dan pihaknya bertindak memasang dua perangkap sejak Mac lalu.

Beliau berkata, sehingga kini dua perangkap tersebut masih aktif walaupun belum mengena.

"Kita minta orang ramai yang melihat kemunculan harimau agar terus menghubungi pihak Perhilitan bagi membolehkan tindakan pantas diambil," katanya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial tentang kemunculan seekor harimau belang yang dilihat berkeliaran di kawasan bukit dipercayai Hulu Paka, Dungun.

Kelibat haiwan liar tersebut sempat dirakam seorang pengguna jalan raya sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook.


*Berita asal di Sinar Harian