TAWAU: Perselisihan faham berhubung isu baik pulih jambatan dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian rusuhan menggunakan kayu dan parang di kampung berkenaan.

"Kejadian dipercayai berpunca salah faham antara penduduk kampung mengenai isu pembinaan atau pembaikan jambatan di satu kawasan yang terbabit dalam kebakaran, 17 Mac lalu.

"Susulan insiden itu, polis membuat tangkapan ke atas enam lelaki iaitu empat warga tempatan dan dua warga asing berusia lingkungan 20 hingga 70 tahun.

"Semua suspek terbabit ditahan di beberapa lokasi di sekitar daerah ini sejak awal pagi tadi dan mereka dikenal pasti terbabit dalam kes berkenaan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Jelas beliau lagi, semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, semua suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah dan polis masih menyiasat lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Polis juga katanya sedang mengesan lebih ramai suspek terlibat serta senjata yang digunakan.

Dalam pada itu, katanya enam lelaki yang cedera dalam pergaduhan itu sedang dirawat di hospital.

Terdahulu, video dan gambar kejadian aksi amuk menggunakan kayu dan parang membabitkan kumpulan itu tular di media sosial.