GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan sepuluh lelaki tempatan bagi membantu siasatan insiden pergaduhan melibatkan urusan menunda kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisinoner Soffian Santong berkata, lima lelaki ditahan semalam (Khamis) manakala lima lelaki  telah ditahan pada hari kejadian .

Mereka yang ditahan berusia 21 hingga 54 tahun dan ujian air kencing ke atas semua suspek didapati negatif.

Bagaimanapun, enam yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurut Soffian, dua daripada 10 lelaki yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis manakala lapan yang lain direman selama lima hari dan ditempatkan di lokap berpusat di Balai Polis Bayan Baru untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian jam 2 petang Rabu lepas, sekumpulan 20 lelaki bergaduh di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menunda kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain terbabit dalam kemalangan di laluan menghala pusat bandar.

Video berkenaan tular dimedia sosial dan mendapat reaksi pelbagai pihak.