PUTRAJAYA: Pelancongan domestik di Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan pada 2023 apabila merekodkan lonjakan dalam jumlah perbelanjaan kepada RM78.7 bilion, berbanding RM59.2 bilion pada 2022, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Laporan DOSM itu adalah berdasarkan Akaun Satelit Pelancongan (ASP) yang dikeluarkan hari ini.

ASP merupakan suatu kerangka statistik untuk mengukur perkembangan industri pelancongan serta sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan perbelanjaan pelancongan domestik pada 2023 menunjukkan peningkatan ketara dalam tiga komponen utama, iaitu membeli-belah sebanyak 39.2 peratus, makanan dan minuman 17.5 peratus, serta bahan api kenderaan 14.3 peratus.

Bagi perbelanjaan pelancongan antarabangsa, Mohd Uzir dalam kenyataan hari ini berkata ia turut menunjukkan peningkatan signifikan iaitu sebanyak RM75.8 bilion berbanding RM33.8 bilion pada 2022.

"Prestasi memberangsangkan industri pelancongan negara pada 2023 dipengaruhi oleh permintaan yang lebih kukuh daripada perbelanjaan pelancongan domestik dan antarabangsa," katanya.

Bagi 2023, beliau berkata industri pelancongan menyumbang 4.9 peratus kepada keseluruhan guna tenaga dengan 3.4 juta orang bekerja berbanding 3.2 juta orang pada 2022.

Beliau berkata pekerjaan dalam industri pelancongan didominasi oleh perdagangan runcit, makanan dan minuman serta perkhidmatan bercirikan pelancongan negara.

Dari segi sumbangan sektor pelancongan kepada KDNK, Mohd Uzir berkata ia menyumbang 15.1 peratus atau RM275.8 bilion pada 2023 berbanding 13.9 peratus atau RM250.1 bilion pada tahun sebelumnya, dengan merekodkan pertumbuhan sebanyak 10.3 peratus.

Katanya KDNK Pelancongan Langsung pada 2023 meningkat kepada RM81.2 bilion daripada RM48 bilion pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA