BARU-baru ini kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa PKP Bersyarat akan dilaksanakan mulai 4 Mei. Penutupan ketat (lockdown) yang dikenakan sebelum ini akan dilonggarkan dan perniagaan dalam kebanyakan sektor akan dibenarkan beroperasi sepenuhnya. Sistem pengangkutan awam juga akan dibenarkan untuk beroperasi semula.

Hasil daripada keputusan itu, perdebatan yang sangat sengit terjadi di antara mereka yang menyambut dan menyokong keputusan itu, dan mereka yang menentangnya yang mengatakan bahawa ia adalah keputusan yang melulu dan tidak bertanggungjawab. Yang menentang berpendapat bahawa jumlah jangkitan baru masih tinggi dan oleh itu pelonggaran PKP boleh mengakibatkan lonjakan jangkitan yang mungkin akan mengakibatkan lebih banyak nyawa terkorban. Mereka menekankan bahawa oleh kerana COVID-19 senang berjangkit dan merbahaya, PKP yang ketat mesti dilanjutkan sehingga vaksin dijumpai.

Yang menyokong keputusan kerajaan pusat menekankan bahawa kos ekonomi akibat PKP adalah terlampau tinggi kerana banyak syarikat perniagaan yang telah ditutup dan ratusan ribu orang mungkin telah kehilangan pekerjaan. Akibatnya ramai rakyat Malaysia mungkin telah kehabisan wang tunai untuk membeli makanan dan keperluan asas. Hujah mereka bukan tanpa asas kerana tinjauan terbaru oleh Jabatan Statistik menunjukkan bahawa hampir separuh daripada rakyat Malaysia (43%) yang bekerja sendiri mempunyai simpanan kewangan yang hanya dapat bertahan kurang dari dua minggu.

Disamping itu banyak syarikat perniagaan berhutang dengan pihak bank dan tidak mampu membayar gaji pekerja jika tidak dapat beroperasi. Oleh itu ramai rakyat Malaysia sebenarnya tidak mempunyai pilihan selain perlu pergi keluar bekerja untuk menyara keluarga mereka. Disamping itu sebarang lanjutan PKP boleh mengakibatkan peningkatan jumlah gelandangan dan juga jenayah, kerana orang-orang yang terdesak mungkin mengambil tindakan yang sangat terdesak.

Oleh itu, tidak menghairankan bahawa perdebatan berkenaan keputusan PKPB begitu panas dan emosional. Implikasi dari keputusan sama ada melanjutkan atau melonggarkan PKP kedua-duanya sangat serius. Implikasi kepada kedua-dua keputusan alternatif oleh kerajaan adalah sinario yang sangat suram. Oleh kerana masalah COVID-19 dijangka berlanjutan hingga tahun depan sekiranya vaksin masih tidak dijumpai, perbezaan pendapat dan perdebatan berkenaan isu ini akan berlanjutan selama beberapa bulan lagi. Sekiranya perdebatan ini tidak dikawal, ia boleh menjadi punca kepada peretakan hubungan persahabatan dan kekeluargaan.

Pada hakikatnya, jika sebahagian besar dari rakyat Malaysia mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi untuk bertahan beberapa bulan lagi serta tidak mempunya beban kewangan yang tinggi, maka perlanjutan PKP sudah tentu tidak akan menjadi isu besar kerana ia adalah langkah untuk memastikan kita tidak terdedah kepada virus yang dapat membunuh kita. Dalam suasana itu perlanjutan PKP hanya bermakna kita akan bekerja dari rumah untuk tempoh lebih lama sahaja. Bagi setengah orang ia adalah perlanjutan cuti rehat yang lebih lama dengan pendapatan yang sedikit berkurang.

Malangnya itu bukannya realiti sebenar sekarang. Sistem ekonomi yang diamalkan di negara kita sekarang menyebabkan hanya segelintir minoriti yang mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi. Majoriti rakyat Malaysia sekarang mempunyai beban kewangan yang besar. Situasi yang sama menghadapi banyak syarikat perniagaan serta bahkan kerajaan kita sendiri.

Apa yang telah berlaku adalah kita telah dikondisikan secara sosial melalui proses pendidikan (baik formal atau tidak formal) untuk bergantung pada dana yang dipinjam untuk sebahagian besar aktiviti kita. Akibatnya, ramai orang telah berhutang untuk hampir semua perkara - dari membeli rumah dan kereta, serta juga untuk pergi bercuti dan mengadakan majlis perkahwinan yang mewah. Bagi organisasi perniagaan, pembiayaan hutang lebih disukai daripada pembiayaan ekuiti. Kerajaan juga dibebani dengan hutang berjumlah lebih dari RM1 trilion (jika termasuk jaminan hutang).

Akibatnya, ramai sekarang sangat terdesak untuk keluar dari rumah untuk pergi bekerja dan membuka perniagaan mereka, walaupun ancaman COVID-19 yang boleh membunuh masih wujud di luar sana. Realiti kita hari ini ialah kebanyakan orang dan organisasi dalam keadaan terdesak sehingga ke tahap sanggup mempertaruhkan kesihatan dan nyawa mereka demi memastikan mereka selamat dari masalah kewangan.

Sudah tiba masanya kita menyedari tidak ada gunanya berdebat mengenai keputusan kerajaan pusat tidak melanjutkan PKP yang ketat. Daripada berdebat di antara kita mengenai keputusan tersebut, lebih baik kita meluangkan lebih banyak masa untuk membincangkan bagaimana hendak meyakinkan generasi masa depan agar lebih pintar daripada kita supaya mereka dapat membentuk kerangka ekonomi masa depan yang akan membolehkan mereka menghindari dari masalah beban kewangan jika sekiranya wabak seperti COVID-19 berulang kembali. Dengan itu mereka akan lebih mampu untuk memilih untuk tinggal dengan selamat di rumah bersama keluarga selama tempoh yang diperlukan, tanpa perlu bimbang berkenaan beban kewangan yang berat akibat dari keputusan itu.

Tetapi untuk itu terjadi, generasi akan datang perlu merubah sistem ekonomi yang diamalkan serta nilai kehidupan mereka di mana amalan berhutang perlu dianggap sebagai sesuatu yang harus dihindari sejauh mungkin, dan bukan sebagai sesuatu yang positif atau normal.



* Prof Mohd Nazari Ismail bertugas di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.