SEHINGGA vaksin ditemui dan digunakan secara berkesan, yang menurut pakar akan mengambil masa sekitar 12 dan 18 bulan lagi, perang ke atas COVID-19 nampaknya akan berpanjangan.

Sebagai sebuah negara yang tidak pernah melihat konflik sebesar ini sejak Perjanjian Hatyai pada tahun 1989, jentera institusi Malaysia sedang diuji habis-habisan.

Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan - dengan kos yang berat terhadap ekonomi - dapat memberi sedikit ruang waktu, ada keperluan untuk mendorong semua pihak keluar dari zon selesa dan masuk ke dalam rangka pemikiran dan beroperasi secara keseluruhan kerajaan (whole of government) untuk kita menjuarai perang COVID-19 ini. Banyak lagi yang perlu dilakukan.

Belajar daripada sejarah

Ketika Kertas Putih Pertahanan dalam proses penggubalan, hampir setiap mesyuarat yang saya hadiri sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, saya sering mengulangi bahawa jika sesebuah entiti menyerang Malaysia, ia tidak akan peduli sama ada pasukan yang bertindak balas datang dari Tentera Darat, Tentera Laut atau Tentera Udara.

Ia juga tidak akan membezakan antara polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kastam, Imigresen atau mana-mana badan berseragam yang lain.

COVID-19 turut sama tidak mendiskriminasi. Demikian juga halnya, kita sebagai sebuah negara mesti menyusun tindakan secara teratur.

Ketika Darurat Pertama (1948-1960) dan Darurat Kedua (1968-1989), pihak berkuasa British dan Malaya/Malaysia dikenali dunia dengan usaha antara agensi secara holistik yang terbukti amat penting dalam menjayakan matlamat utama untuk menewaskan komunis.

KESBAN (Keselamatan dan Pembangunan) adalah konsep yang dibangunkan oleh Perdana Menteri Tun Razak ketika itu sebagai strategi keselamatan negara semasa Darurat Kedua, yang disokong melalui gabungan pembangunan politik dan ekonomi serta operasi tentera untuk menewaskan insurgensi Komunis kali kedua.

Konsep "pertahanan menyeluruh" (HANRUH), yang dicetuskan pada tahun 1986, telah menjadi sekadar cakap kosong sepanjang 30 tahun Malaysia menikmati kedamaian.

Idea itu diulang semula dalam Kertas Putih Pertahanan pertama negara yang dibentang di Parlimen oleh mantan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Pengajaran daripada sejarah dan ketergesaan betapa besarnya krisis COVID-19 harus membimbing institusi negara untuk berfikir secara lebih holistik.

Reformasi MKN

Apabila PKP diputuskan buat kali pertama, kita diberitahu bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menjadi badan penyelaras utama.

Secara tradisinya, MKN berfungsi sebagai sebuah sekretariat yang diuruskan oleh penjawat awam dan bukannya saraf tunjang keselamatan yang proaktif menghubungkan semua agensi keselamatan ke pihak atas dalam sela masa setiap hari dan jam.

Mesyuarat Khas Majlis MKN (Sidang Khas), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, sebelum ini hanya bertemu sekali setiap tiga bulan.

Sepanjang dekad yang lalu, United Kingdom, Australia, Jepun dan beberapa negara lain telah memperkukuh MKN masing-masing secara besar-besaran.

Sudah tiba masanya untuk Malaysia mempertimbangkan melantik Penasihat Keselamatan Negara bertaraf Kabinet, dan menjalankan Mesyuarat Khas MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Badan sedemikian tidak seharusnya hanya mengumpulkan risikan dan maklumat mengenai ancaman tetapi menggunakan maklumat sedemikian untuk menggubal beberapa dasar-dasar pencegahan bagi mengalahkan atau mengurangkan kesan ancaman tersebut.

Semasa PKP berlangsung, sepatutnya ada satu ‘war room’ dipengerusikan oleh Perdana Menteri setiap hari untuk mengawasi data terkini.

Amat penting di sini bagi Kementerian Kesihatan untuk hadir sebagai anggota separa kekal sehingga berakhirnya krisis COVID-19, memandangkan data yang paling relevan mengenai ancaman itu datang dari pasukan baris depan sektor kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah memimpin pertempuran terhadap COVID-19 dengan sangat cemerlang.

Tahniah kepada beliau dan juga ratusan ribu wira baris hadapan atas usaha dan pengorbanan mereka tanpa mengenal erti lelah.

Peranan hospital swasta dan awam

Tetapi pada peringkat dasar, terdapat keperluan untuk melibatkan hospital-hospital swasta dan klinik-klinik swasta sama ada untuk melawan COVID-19 atau menangani penyakit-penyakit lain secara lebih meluas.

Ironinya, menurut laporan The Edge Financial Daily, hospital swasta kini kurang sibuk kerana pesakit warga asing tidak dibenarkan datang manakala pesakit Malaysia mengelak daripada pergi ke hospital.

Dalam model penswastaan ​​kesihatan kita yang agak menyimpang, 70 peratus sumber perubatan berada di hospital swasta dengan 30 peratus beban pesakit manakala sektor awam pula terbalik.

Namun, kebanyakan hospital swasta dimiliki oleh syarikat berkait kerajaan.

Dalam tempoh krisis yang berlarutan, kita memerlukan penglibatan setiap anggota perubatan terlatih untuk ke baris hadapan bagi memerangi COVID-19, atau sebaliknya melepaskan tekanan ke atas barisan hadapan COVID-19 dengan menguruskan semua penyakit lain.

Daripada pemerhatian, kita masih perlu menambah bilangan dan kapasiti baris depan penjagaan kesihatan, serta peralatan di hospital dalam perang jangka panjang COVID-19.

Kita perlu melakukan lebih banyak ujian dan kemudian mengesan dan mengasingkan; kita perlu memastikan bahawa semua hospital dan petugas baris depan dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi; kita perlu memastikan bahawa ICU terjamin keselamatannya dan stok alat bantu pernafasan mencukupi.

Tambahan kepada itu, harus ada komunikasi dengan lapis-lapis taktikal tindak balas tentang prinsip asas sains kesihatan di sebalik usaha mengurangkan R-0.

Ini adalah untuk memastikan supaya para petugas baris depan, terutamanya daripada perkhidmatan beruniform, memahami logik tindakan mereka agar tidak mengeruhkan keadaan secara tidak sengaja.

Pendekatan keselamatan tidak boleh melupakan objektif kesihatan

Aparat keselamatan, terutamanya pihak polis, nampaknya memahami PKP sebagai perintah berkurung, yang tidak sepenuhnya salah, tetapi kaedah pelaksanaan lemah.

Ramai yang melanggar perintah telah ditangkap dan pada awalnya, kebanyakan mereka yang ditahan itu telah dimasukkan ke dalam lokap tanpa pembatasan sosial, menjadikan PKP seolah-olah tidak berguna.

Dan memburukkan lagi keadaan, beberapa orang tersebut telah didakwa dan dijatuhi hukuman penjara yang agak panjang.

Kita harus ingat bahawa pra COVID-19, isu kesesakan sudah menjadi masalah utama sistem penjara Malaysia.

Menyumbat lebih ramai orang ke dalam penjara yang sesak adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip pembatasan sosial.

Hal ini disokong oleh pandangan yang diutarakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar yang menyatakan bahawa adalah "mustahil" untuk menjalankan pembatasan sosial di penjara kerana terlalu sesak.

Begitu juga, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat memberitahu pegawai kehakiman untuk mengambil kira risiko menyebarkan virus apabila menjatuhkan hukuman kepada pesalah.

Pendekatan dengan akal sihat seperti ini amatlah dialu-alukan, tetapi ia sepatutnya telah diarahkan dari atas sejak awal lagi.

Akhirnya, objektif PKP adalah untuk mendidik orang ramai tentang keperluan untuk berdiam diri di rumah bagi mendatarkan lengkung, supaya mereka faham dan mengamalkan pembatasan sosial, mencuci tangan dengan kerap, menggunakan pembasmi kuman, dan memakai topeng muka.

Aparat keselamatan perlu selalu diingatkan tentang tujuan dasar yang lebih utama penguatkuasaan pembatasan sosial, bukan hanya untuk melaksanakan perintah berkurung.

Melangkaui rondaan: peranan Angkatan Tentera

Penglibatan Angkatan Bersenjata Malaysia (MAF) melangkaui rondaan semakin jelas kelihatan akhir-akhir ini, dan ini amat menggalakkan.

Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera telah secara aktif membantu doktor dan hospital awam dengan menyokong usaha penyaringan di lapangan terbang dan dengan menambah kapasiti pusat kuarantin.

Sementara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengerah kedua-dua pesawat strategik berkapasiti tinggi dan helikopter berkapasiti sederhana untuk segera mengangkut bekalan perubatan dan makanan antara Malaysia Timur dan Semenanjung, dan mancapai kawasan-kawasan terpencil.

Tentera Darat juga telah menyediakan kapasiti logistik yang signifikan untuk membantu mengedarkan bantuan, khususnya ke kawasan di bawah PKPD.

Lebih banyak keupayaan Angkatan Tentera harus digunakan. Perlu ada kefahaman oleh kerajaan bahawa selain tugas rondaan, Angkatan Tentera juga mempunyai minda-minda terbaik yang dilatih dan didedahkan di peringkat antarabangsa apabila merujuk kepada perancangan senario bencana dan perancangan strategik.

Menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan

PKP adalah harga ekonomi yang harus dibayar untuk menjamin kesihatan rakyat dan memastikan sistem kesihatan kita tidak runtuh. Itulah imbangan yang telah difahami dengan baik. Tetapi kita sebenarnya boleh mengelak impak pada rantaian bekalan makanan.

Pelupusan sayur-sayuran dari Cameron Highlands adalah pembaziran yang teruk yang secara langsung disebabkan oleh komunikasi rentas agensi yang tidak berkesan.

Pada masa yang sama, krisis ini juga menjadi peluang terbaik untuk mengembangkan sektor e-dagang negara.

Kita juga boleh membina kapasiti pengeluaran perang untuk bekalan perubatan dalam tempoh empat minggu yang lalu, yang wajar dimulakan kerajaan pada minggu-minggu akan datang.

Kerajaan boleh melakukan lebih banyak lagi untuk sektor perniagaan demi menyelamatkan pekerjaan.

Amerika Syarikat kehilangan 16 juta pekerjaan dalam masa tiga minggu. Belum pernah terjadi sebelum ini.

Kerajaan perlu memikirkan strategi ekonomi dengan segera, dengan mengambil kira perspektif kesihatan dan keselamatan.

Kemungkinan besar banyak pemikiran lama yang membentuk pemahaman kita tentang ekonomi perlu diubah dengan pendekatan yang lebih berani.

Hanya apabila kita bersedia untuk berfikir di luar kotak maka kita akan dapat mencari jalan-jalan baharu.

Keperluan penyelarasan yang cekap

Keputusan awal untuk mengecualikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam program pengedaran bantuan secara langsung bertentangan dengan pendekatan keseluruhan-negara dan keseluruhan-masyarakat yang sangat diperlukan dalam krisis ini.

Pemusatan program agihan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya akan membebankan Jabatan Kebajikan Masyarakat sementara ramai orang akan kebuluran.

Pengalaman dan pengetahuan yang dibawa oleh NGO dan CSO adalah sangat penting dalam menyokong program bantuan kerana aktivis kumpulan ini mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang populasi yang terjejas.

Malaysia dan seluruh dunia baru sahaja berada pada permulaan perang COVID-19.

Cabarannya tidak akan hilang begitu sahaja. Malah lebih banyak akan menjelang.

Kita kini memerlukan pendekatan keseluruhan-kerajaan. Sudah tiba masanya untuk memecahkan penghadang-penghadang dalam struktur kerajaan dan menyusun gerakan bersama secepat mungkin.

Tangan kiri kerajaan mesti tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanan dan bekerja serentak untuk menyelamatkan nyawa dan ekonomi demi seluruh rakyat Malaysia.


* Liew Chin Tong merupakan bekas Timbalan Menteri Pertahanan.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.