Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Pembantu Prof Dr Nurul Yaqin Mohd Nor, tanggungjawab merancang keluarga tidak wajar diletakkan di bahu wanita semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama.
Bagaimanapun, ujarnya, bagi masyarakat Melayu Islam, konsep perancangan keluarga perlu dilaksanakan berlandaskan syariat Islam.
“Alat perancang keluarga yang tersedia di pasaran sangat pelbagai, tentunya kelebihan dan kekurangannya boleh dibincangkan.
“Namun, dari perspektif Islam, konsep perancangan keluarga bukanlah bertujuan menolak kehadiran anak sepenuhnya.
“Sebaliknya, Islam menggalakkan perancangan keluarga untuk memastikan kesihatan ibu berada dalam keadaan baik sebelum mengandung, terutamanya dalam dunia moden yang penuh risiko seperti penyakit dan komplikasi kehamilan,” jelasnya.
Ujarnya, perancangan keluarga juga membolehkan jarak kehamilan disesuaikan dengan keadaan semasa, yang dapat membantu menjaga kesihatan ibu dan anak.
Beliau turut mengulas perdebatan di platform X mengenai percanggahan pendapat antara sebahagian lelaki dan wanita berkenaan perancangan kehamilan dan prosedur vasektomi.
“Dalam Islam, prosedur yang dianggap haram adalah yang bersifat kekal.
“Walaupun ada kemungkinan untuk membalikkan kesannya, seperti vasektomi, proses tersebut melibatkan gangguan laluan biologi dan berpotensi menyebabkan kemandulan,” katanya.
Sebelum ini, seorang individu berkongsi di platform X, mendedahkan dia memilih untuk menjalani prosedur vasektomi kerana tidak sanggup melihat isterinya menanggung kesan sampingan suntikan perancang keluarga.
Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menjelaskan bahawa prosedur vasektomi adalah haram dan tidak dibenarkan dalam Islam.