KUALA LUMPUR : Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi lapan negeri bermula Isnin (18 Oktober).

Ini termasuk melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan beberapa sektor.

Berikut tumpuan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini:

1. Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih dari Fasa 2 kepada Fasa 3 PPN, manakala, Melaka dan Lembah Klang merangkumi Kuala Lumpur dan Selangor beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4 PPN.

BACA: PPN: Peralihan fasa di lapan negeri, Melaka dan Lembah Klang ke Fasa 4 - PM

2. Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok, 16 Oktober 2021.

3. Kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua fasa PPN juga bermula pada tarikh yang sama.

4. Pengurangan tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara dan kontak rapat berkuat kuasa pada Isnin iaitu 18 Oktober 2021.

a. Tujuh hari kuarantin di rumah atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap.
b. 10 hari kuarantin bagi pengembara yang tiada atau tidak lengkap vaksin.

 
Sumber Facebook MKNJPM


5. Kelonggaran lain termasuk pembukaan perkhidmatan pusat siber dan kafe siber dipersetujui dengan penyelarasan kapasiti berkuat kuasa 17 Oktober 2021. 80 peratus kapasiti bagi Fasa 3 dan 100 peratus bagi Fasa 4 PPN.

6.  Jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara berkuatkuasa 18 Oktober depan.

7. Bagi sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) dibenar secara bersemuka dan ia tertakluk buat individu yang lengkap divaksin dan beberapa syarat lain. Ianya dilaksana bermula 18 Oktober 2021.

8. Kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenal pasti.

BACA: Kelonggaran SOP: Lepas ini boleh singgah R&R, sudah boleh beroperasi 24 jam!