Kerajaan Negeri Perak akan mewujudkan lima lagi Sekolah Menengah Tahfiz Daerah (SMTD) untuk memenuhi tuntutan agama dan melaksanakan janji kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Nizar Zakaria berkata SMTD akan dibina di daerah Kinta, Kampar, Perak Tengah, Hilir Perak serta sebuah bagi Larut Matang dan Selama.

"Setakat ini sebanyak lima SMTD telah beroperasi di Manjung, Batang Padang, Kuala Kangsar, Kerian dan Lenggong," katanya menjawab soalan (BN-Lintang) Datuk Mohd Zolkafly Harun pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM10 juta dari tahun 2011 hingga 2013 bagi tujuan pembangunan fizikal dan pengurusan SMTD.

Katanya kejayaan pelaksanaan perancangan kerajaan negeri yang penuh hikmah dan teratur di dalam pelan pembangunan pendidikan tahfiz di negeri itu, akan dapat meningkatkan SMTD setanding dengan sekolah asrama yang lain dari aspek infrastruktur dan kurikulum.

Mohd Nizar berkata selain daripada kurikulum tahfiz yang merupakan kurikulum teras di sekolah itu, kerajaan Perak turut melaksanakan kurikulum Azhariah (Dini) dan kurikulum arus perdana Kementerian Pendidikan.

"Para pelajar tahfiz bukan sahaja memperoleh sijil dalam bidang tahfiz dan menjadi seorang hafiz al-Quran, tetapi mereka juga mempunyai sijil dalam bidang akademik seperti PMR (Penilaian Menengah Rendah), SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) dan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia)," katanya.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata kerajaan negeri berperanan memastikan pelajar tahfiz tidak terabai dan mempunyai kerjaya yang sesuai setelah mereka menamatkan pengajian.

"Di antara langkah dan bentuk kawalan yang dilakukan kerajaan negeri adalah seperti kawalan kurikulum, penempatan guru al-Quran, menyediakan latihan kepada tenaga pengajar dan mendaftarkan sekolah tahfiz di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama.

"Langkah seterusnya adalah menempatkan guru-guru al-Quran di sekolah-sekolah tahfiz. Guru-guru ini dilantik oleh kerajaan negeri, terdapat seramai 26 guru lantikan dalam skim S17 dan 20 skim S27," katanya. -- Bernama