IPOH: Seramai lapan individu termasuk remaja diberkas dalam insiden pergaduhan membabitkan penyokong Perak FC dan Johor Darul Ta'zim di Stadium Perak di sini pada Sabtu.

Kejadian berlaku sejurus perlawanan Liga Super itu ditamatkan membabitkan lelaki warga tempatan berusia antara 16 hingga 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebelum itu kesemua mereka dikesan telah melakukan kekecohan dan membaling botol ke arah polis yang bertugas.

"Tangkapan dibuat kerana dikhuatiri kekecohan dan provokasi dilakukan akan mengancam ketenteraman awam di tempat itu.

"Hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah, semakan juga menunjukkan tiada rekod lampau berkaitan jenayah," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, tujuh daripada suspek akan disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan gaduh gempar, manakala seorang remaja berusia 16 tahun disiasat mengikut Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang tugas penjawat awam.

Katanya, polis sedang melengkapkan siasatan kes dan akan dirujuk kepada Pendakwa Raya Negeri bagi cadangan pertuduhan.

"Polis menasihatkan semua pihak agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang.

"Dalam kes ini, orang ramai disaran tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat," katanya.

Pada Sabtu, perlawanan membabitkan Perak FC bertemu JDT hanya sempat berlangsung kurang tiga minit sebelum pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan perlawanan ditangguhkan ke satu tarikh baharu atas faktor cuaca dan keadaan padang yang tidak mengizinkan.

Keputusan itu mengakibatkan suasana dalam stadium tiba-tiba bertukar kecoh disebabkan berlaku provokasi melibatkan penyokong kedua-dua pasukan.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Aziz Mat Aris memaklumkan, seramai 500 pegawai dan anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di Stadium Perak bagi memastikan perlawanan berlangsung lancar. - Sinar Harian