PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah untuk menyelamatkan negara.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri menegaskan penyasaran subsidi diesel dilakukan untuk menyelamatkan negara, meskipun ia akan mendapat kritikan.
  • Dia menyatakan bahawa langkah itu diperlukan kerana tiada pilihan lain bagi kerajaan, dan pendahulu-pendahulunya juga bersetuju tetapi tidak melaksanakannya.
  • Penyasaran subsidi diesel diumumkan semalam untuk harga pasaran tanpa subsidi, dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara, tetapi tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.


Katanya, beliau sedar langkah itu akan menjadi bahan kritikan ramai namun ia perlu dilaksanakan memandangkan kerajaan tiada pilihan lain.

"Kita terpaksa ambil beberapa tindakan yang tidak popular, tetapi untuk selamatkan negara. 

"Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu, apa pun yang kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.

"Padahal, kita beritahu, penyasaran subsidi ini semua perdana menteri sebelum itu telah setuju, cuma tidak ada tekad politik melaksanakan, kerana risikonya ada.

"Tetapi, untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anwar turut menegaskan, beliau tidak akan jemu mengulangi peringatan mengekang amalan berlaku ketirisan dan rasuah dalam kalangan penjawat awam di bawah pentadbirannya.

"Saya tidak jemu mengulang kerana, walaupun ada perubahannya dan saya ucap tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan mana-mana badan penguat kuasa, dan akhirnya tindakan Jabatan Peguam Negara, untuk tidak bertolak ansur terhadap kecurangan, rasuah ini.

"Kerana, mana mungkin orang beribadah, beramal, berbicara tentang Islam tetapi masih mempertahankan amalan kecurian dan rompakan," katanya.

Anwar mengakui, ketirisan masih berlaku di sesetengah peringkat meskipun tindakan tegas telah diambil pihak berkuasa.

Beliau turut mengingatkan ketua jabatan di kesemua unit sektor kerajaan agar mengambil peranan proaktif dengan melaporkan ke pihak atasan sekiranya mengetahui rasuah berlaku, untuk menyelamatkan negara.

Semalam kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung  ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan perkara itu berkata ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism. 

Beliau berkata dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun, di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.