Ringkasan AI
- AADK menegaskan bahawa penyalahgunaan ketum boleh menyebabkan ketagihan dan memberi kesan negatif seperti stimulan, sedatif, dan euphoria (khayal). Oleh itu, penggunaan ketum perlu dikawal di Malaysia.
- Kajian AADK bersama UUM dan UM mendapati bahawa penyalahgunaan ketum memberi kesan buruk kepada prestasi akademik, tingkah laku agresif, dan boleh membawa kepada penggunaan dadah yang lebih berbahaya.
- Kajian juga menunjukkan perbezaan corak penggunaan ketum dalam kalangan belia yang berumur di bawah 30 tahun dan golongan lebih tua, serta cabaran dalam penanaman ketum yang mempunyai impak negatif terhadap sosial dan kesihatan, walaupun ada potensi ekonomi.
Berhubung kenyataan itu, AADK ingin menekankan penyalahgunaan ketum atau bahan psikoaktif mitragynine memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria (khayal) yang boleh menyebabkan ketagihan. Oleh sebab itu, penggunaan ketum di negara kita perlu dikawal daripada segi penyalahgunaannya.
Perkara ini disokong dengan tiga kajian yang dilaksanakan AADK bersama dua universiti awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2013 dan 2014 melibatkan kajian Penyalahgunaan Daun Ketum di Kawasan Utara Semenanjung Malaysia dan Cadangan Penyelesaian serta Penyalahgunaan Ketum Dalam Kalangan Pelajar Sekolah di Perlis dan Kedah manakala kajian bersama Universiti Malaya pada tahun 2020 pula berkenaan Pendekatan Menyeluruh Terhadap Kesan Sosio-Ekonomi Dan Persekitaran Ke Atas Penanaman Ketum Di Malaysia.
Hasil dapatan kajian yang pertama mendapati hubungan yang signifikan terhadap pengambilan air daun ketum dengan prestasi akademik dan tingkah laku yang menjadikan seseorang pelajar malas hendak ke sekolah dan tidak memberi tumpuan semasa dalam kelas. Apabila pelajar meminum air daun ketum, tingkah laku pelajar juga menjadi berubah dan seperti bertindak lebih agresif apabila gagal mendapatkan sesuatu barang yang mengkhayalkan seterusnya mengajak rakan-rakan mereka terlibat sama untuk meminum
air daun ketum. Daripada permulaan meminum air daun ketum yang mengakibatkan perubahan tingkah laku seterusnya menjadi lebih teruk kepada mengambil bahan-bahan yang lebih mengkhayalkan seperti dadah.
Dapatan hasil kajian pada tahun 2013 diperkukuhkan dengan kajian pada tahun 2014 daripada universiti yang sama iaitu terdapat perbezaan corak penggunaan dan bentuk pengambilan ketum dalam dua kategori belia, iaitu belia yang berada dalam lingkungan umur antara 12 tahun hingga 29 tahun dan belia dalam kumpulan umur 30 tahun hingga 39 tahun. Corak dan bentuk penyalahgunaan ketum bagi kategori belia di bawah umur 30 tahun adalah lebih menjurus kepada mengikut rakan dan mendapatkan keseronokan.
Golongan ini juga lebih cenderung untuk mencampurkan bahan lain di dalam ketum bagi tujuan mendapatkan rasa yang lebih sedap di samping menghilangkan rasa pahit ketum.
Perkara ini berlaku kerana mereka masih lagi dalam tempoh mencuba dan tidak dapat menahan daripada rasa pahit air rebusan ketum. Bagi golongan belia yang berumur 30 tahun ke atas pula mendapati, pengunaan bahan itu bertujuan menghilangkan ketagihan, mendapat keseronokan dan meghilangkan tekanan. Golongan ini tidak lagi mengikut rakan, sebaliknya menjadi pendorong kepada belia muda untuk mengikuti mereka.
Golongan ini boleh dikategorikan sebagai pengguna ketum yang regular atau tegar. Menariknya, golongan ini kurang untuk mencampurkan ketum dengan bahan lain dan lebih gemar untuk meminum ketum biasa. Hal ini kerana, mereka telah mengalami simptom ketagihan dan terbiasa dengan rasa air ketum yang pahit dan perlu mendapatkannya dengan lebih cepat berbanding melakukan proses mencampurkannya dengan pelbagai jenis bahan lain.
Sementara itu, kajian UM pula berkisar kepada isu dan cabaran penanaman ketum di negara ini sekali gus mengkaji impak penanaman tumbuhan itu terhadap sosial, ekonomi dan persekitaran dengan menggunakan responden kumpulan petani dan orang awam.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa kedua-dua golongan petani dan orang awam mempunyai jangkaan negatif terhadap ketum dalam konteks sosial dengan mengambil kira faktor kesihatan penyalah guna ketum akan terjejas. Pun begitu, dalam aspek ekonomi, golongan petani dan orang awam yang berkepentingan bersetuju dengan menghalalkan penanaman ketum dan produk ketum boleh menjana pendapatan.
AADK bagaimanapun melihat kajian ini kepada dapatan dari segi kesihatan dan sosial yang banyak memberi impak negatif kepada penyalahgunaannya. Walaupun dari satu sudut, ketum mempunyai nilai perubatan, namun wujud kebimbangan tentang kemudaratannya yang boleh mengakibatkan penyalahgunaannya. Penyalahgunaan ketum akan menyebabkan gejala ketagihan menjadi punca kepada polemik yang berterusan khususnya penagihan dan penyalahgunaan bahan terlarang lain seperti dadah dan bahan.
UNIT MEDIA DAN KOMUNIKASI KORPORAT
AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN