PEKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Simpang Permatang Pasir, dekat Jalan Pekan-Paloh Hinai, pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 35 tahun maut selepas motosikalnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Simpang Permatang Pasir, dekat Jalan Pekan-Paloh Hinai, pada Jumaat.
  • Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.39 tengah hari dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan dikerahkan ke tempat kejadian.
  • Mangsa yang tersepit di bawah kereta berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta yang cedera dibawa ke hospital berdekatan.


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.39 tengah hari.

"Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

"Terdapat seorang lelaki dewasa tersepit di bahagian bawah kereta manakala seorang wanita dewasa iaitu pemandu kereta mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan pengusung.

Jelasnya, mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital berdekatan dengan menggunakan ambulan KKM. -Sinar Harian