Beliau berkata kebanyakan kes kemalangan di JSAHMS akibat penunggang motosikal memasuki laluan utama termasuk melanggar kereta yang berhenti di lorong kecemasan.
"Macam tahun lepas memang ada kemalangan maut melibatkan golongan berkenaan disebabkan tidak menggunakan lorong motosikal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Jom Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Zulkifly Ismail di Kompleks Plaza Tol JSAHMS di sini hari ini.
Sempena pelancaran kempen itu, JKSB turut mengedarkan jaket dan pelekat pantul cahaya kepada penunggang motosikal selain turut mengedarkan alat pemadam api mini kepada pengguna kenderaan kelas 1 sebagai usaha meningkatkan keselamatan di jalan raya.
Faisal berkata Kempen Jom Selamat itu yang dilaksanakan dengan kerjasama JPJ sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini merupakan sebahagian daripada inisiatif keselamatan di bawah Sinar Sejahtera.
Beliau berkata JKSB akan terus giat menjalankan advokasi dan pendidikan keselamatan di jalan raya terutama pada musim perayaan yang saban tahun menunjukkan peningkatan ketara jumlah kenderaan.
Sementara itu, Zulkifly berkata operasi JPJ sepanjang Aidilfitri tahun ini akan memberi tumpuan kepada beberapa laluan yang kerap berlaku kemalangan terutama di daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan di samping Barat Daya di bahagian pulau.
"Operasi akan dibuat seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri yang bukan sahaja membabitkan kenderaan persendirian, malah kenderaan lain seperti bas ekspres bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
