Sebuah ambulan yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil pesakit dilanggar sebuah kereta setelah gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat mengakibatkan rempuhan terhadap sekumpulan penunggang motosikal.

Seorang penunggang motosikal dilaporkan cedera akibat rempuhan itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 pagi di Jalan Song Ban Kheng, Bukit Mertajam ketika ambulan terbabit yang datang dari arah Pusat Perniagaan Gemilang sedang menuju ke rumah pesakit di Taman Merak, Simpang Ampat.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika kejadian, ambulan milik pusat perubatan swasta itu dikatakan tidak memberhentikan kenderaannya ketika lampu isyarat berwarna merah.

Namun pada masa yang sama, seorang pemandu kereta yang datang dari arah kiri tidak memberikan laluan kepada ambulan tersebut hingga menyebabkan berlaku rempuhan di tengah persimpangan lampu isyarat terbabit.

Nik Ros Azhan berkata, akibat rempuhan itu, ambulan berkenaan terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sekumpulan penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

Menurut beliau, rempuhan itu menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera manakala pemandu ambulan dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu sempat dirakam oleh salah seorang pengguna jalanraya menggunakan kamera papan pemuka.

Kes itu disiasat di bawah Peraturan 17 LN167/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 manakala mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital.

Sehingga jam 5 petang tadi, hanya satu laporan polis diterima daripada seorang penunggang motosikal, manakala pemandu ambulan dan kereta serta seorang lagi penunggang motosikal masih belum membuat laporan berhubung kejadian itu.