Seorang penumpang bas ekspres ditemukan mati selepas pengangkutan awam itu, yang dalam perjalanan dari Terengganu ke Pahang, berhenti di Sungai Ular, Cherating dekat sini, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 43 tahun itu yang berasal dari Kemaman, Terengganu ditemukan mati oleh pemandu bas berkenaan semasa dia cuba mengejutkannya untuk bertukar bas ke Melaka semasa tiba di kawasan itu pada 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata hentian terakhir bas ekspres itu adalah Kuantan dan bagi perjalanan ke Melaka, lelaki itu perlu menaiki bas ekspres lain di kawasan itu.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Aziz berkata bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini mendapati kematian lelaki itu tiada kaitan dengan unsur jenayah. -- Bernama