KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) perlu memastikan kerja penukaran 'Remote Terminal Unit' (RTU) di 75 stesen terlibat Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata setakat ini hanya empat daripada keseluruhan 79 stesen selesai dilaksanakan.

"PAC dimaklumkan bahawa kerja-kerja penukaran RTU di 75 stesen ini akan siap dan sedia digunakan pada November 2024," katanya dalam kenyataan.

Jawatankuasa itu membentangkan Laporan PAC Parlimen Terhadap Tindakan Susulan PETRA Bagi Syor-syor Laporan PAC Parlimen Berhubung PRAB hari ini, yang bertujuan memaklumkan tindakan susulan kementerian berkenaan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terhadap enam syor PAC pada 20 Mac lepas.

PAC telah mengadakan Prosiding Tindakan Susulan berhubung PRAB pada 11 Julai lepas yang dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Ramzi Mansor, Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pengarah JPS Datuk Dr Ahmad Anuar Othman.

Mas Ermieyati berkata JPS telah mengadakan libat urus dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas kejadian penutupan liputan 3G yang memberi kesan kepada pelaksanaan PRAB Fasa 1.

Justeru, PAC mahu semua kementerian mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan sebelum melaksanakan sesuatu projek supaya masalah yang tidak dijangka dapat diminimumkan.

Selain itu, PAC telah dimaklumkan tentang status pelaksanaan projek PRAB Fasa 2 dan Fasa 3 dan menyatakan PETRA serta JPS perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan segera jika terdapat sebarang kelewatan dalam pelaksanaan kedua-dua projek itu.

Mas Ermieyati berkata PETRA dan JPS juga perlu memastikan projek PRAB Fasa 3 yang dirancang dilaksanakan secara kaedah Reka dan Bina dapat digunakan dan disepadukan dengan sistem sedia ada.

PAC juga mengambil maklum bahawa JPS telah menyediakan dan mengedarkan Standard Spesifikasi Bagi Penyenggaraan Pencegahan Stesen Telemetri pada 20 Mei lepas bagi tujuan rujukan pihak negeri.

Susulan itu, PETRA dan JPS perlu memastikan segala klausa yang dinyatakan diguna pakai serta melibatkan komuniti tempatan untuk turut memainkan peranan bagi melindungi stesen telemetri daripada aktiviti vandalisme, kecurian dan sebagainya.

Bagi menambah baik hebahan amaran awal banjir, PAC menyarankan supaya PETRA, JPS dan MCMC melibatkan syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi untuk menanggung kos perkhidmatan siaran kilat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat.

-- BERNAMA