PUTRAJAYA: Kerajaan menyerahkan kepada Jemaah Menteri untuk menilai keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini cadangan berkenaan belum dibawa dan dibincangkan oleh Kabinet.

“Tapi setakat saya tahu dan diberi makluman oleh pegawai, ada beberapa pelanggaran serius terutama bila luluskan beberapa projek, jadi ‘mark up’ terlalu tinggi dan dana itu sampai kepada parti tertentu yang memperlihatkan keupayaan mereka berbelanja luar biasa,” katanya dalam sidang media di Perdana Putra di sini hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pertama.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau secara peribadi tidak cenderung untuk menumpukan terlalu banyak terhadap perkara lama, sebaliknya mahu menumpukan kepada pengurusan ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur.

“Sekarang ini nampak sambutan sangat baik, ramai yang minta mahu temu janji (dengan saya) daripada syarikat pelaburan India, China, Amerika Syarikat dan Eropah untuk minggu akan datang.

"Saya akan tumpu lebih banyak untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan esok pagi saya akan ke Kementerian Kewangan (MoF),” tambah beliau.

Sebelum ini, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Sany Hamzan mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat tujuan perbelanjaan digunakan daripada dana kecemasan RM600 bilion ketika tempoh darurat.

Sany yang juga ahli Parlimen Hulu Langat turut membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 30 November lalu.

Tan Sri Muhyiddin bagaimanapun menegaskan semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN)  itu lagi, beliau tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasatnya kerana menurutnya semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Adly dilaporkan berkata Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat Muhyiddin jika gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara pada 28 November lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter berkata, perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan itu diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.