KULIM: Penubuhan badan berkanun yang menyebabkan pertindihan fungsi perlu dikawal segera, apatah lagi jika diwujudkan semata-mata untuk meletakkan 'orang politik' dalam badan tersebut.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat berkata tindakan segera harus diambil kerana penubuhan itu boleh mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan negara.

"Telah pun berlaku sebelum ini (badan berkanun fungsi bertindih) cuma kita tak bercakap dalam bahasa politik. Sebab pengerusinya akhirnya orang politik, ditempatkan orang politik itu, orang politik ini.

"Mewujudkan suatu badan berkanun untuk memberikan pendapatan kepada penyokong tegar sebuah pertubuhan politik tidak seharusnya berlaku...seumpama mewujudkannya untuk dijadikan tempat orang politik berada di sana, akhirnya tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Coffee Break bersama Presiden CUEPACS di Dewan Bandaran Kulim, hari ini.

Selasa lepas, kerajaan mengumumkan penubuhan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan menjimatkan dana negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata oleh kerana jumlah badan-badan berkanun terlalu banyak dan bertindih serta sukar untuk dirasionalisasi, ia perlu dikurangkan dan dikemaskan.

Dalam pada itu, Adnan yang menyokong usaha kerajaan tersebut berkata CUEPACS sendiri sebelum ini pernah memberikan pandangan apabila kerajaan mahu menubuhkan badan berkanun yang baginya hanya akan berlaku pertindihan peranan.

"Dulu juga kita pernah beri komen kepada kerajaan bagaimana kewujudan Suruhanjaya Perhidmatan Darat (SPAD), kemudian dibuat pelantikan baharu dan sebagainya, banyak benda telah dibuat tetapi tugas yang sama telah ada di Jabatan Pengangkutan Jalan pada ketika itu.

"Kita dah beri pandangan awal namun SPAD tetap diwujudkan juga tapi akhirnya telah dimansuhkan. Begitulah agensi-agensi yang lain, sebahagiannya skop fungsi tugas masih sama tetapi dilaksanakan oleh pelaksana yang lain, agensi yang lain, badan berkanun yang lain," katanya.

-- BERNAMA