SHAH ALAM: Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 18 pertuduhan bersubahat mengemukakan tuntutan bayaran gaji palsu dengan jumlah keseluruhan RM38,000 bagi kerja-kerja penyelidikan sekitar 2021 hingga 2022.

Prof Dr Hapizah Md Nawawi, 64, didakwa melakukan perbuatan itu dengan bersubahat dengan seorang wanita warga tempatan berusia 28 tahun bagi memperdaya empat individu lain, berhubung tuntutan bayaran gaji pembantu penyelidik bagi kerja-kerja penyelidikan tersebut.

Ia bagi kerja-kerja penyelidikan bertajuk 'Mechanism of Drone-Assisted Technology on Efficiency of Mass Disaster Victim Identification (DVI)' yang mengandungi butir matan palsu, sedangkan kerja penyelidikan itu tidak dilakukan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik (I-PPerForM) di Kampus UiTM Sungai Buloh, daerah Petaling di sini antara 13 April 2021 hingga 11 Okt 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM20,000 hingga RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap awal bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi kes.

Peguam Shamsul Sulaiman tidak menolak syarat yang dikemukakan pihak pendakwaan, tetapi memohon agar anak guamnya dibenarkan memegang pasport berikutan tertuduh banyak menghadiri urusan kerja di luar negara di samping memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.

Hakim Datuk Anita Harun kemudiannya menetapkan jumlah jaminan RM30,000 beserta penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Selangor minggu pertama setiap bulan serta dilarang menganggu saksi kes.

"Mahkamah juga membenarkan tertuduh untuk memegang pasport kerana tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri," katanya dan menetapkan 23 Sept depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

-- BERNAMA