Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan berkenaan termasuk kepada semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan, ketua-ketua kampung serta kakitangan di bawah kontrak MySTep.
“Bayaran penuh bantuan khas ini akan dibuat pada minggu terakhir bulan Disember 2024,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM628.65 juta, iaitu hampir separuh daripada keseluruhan belanjawan negeri tahun hadapan, untuk dibelanjakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan dalam pelaksanaan program kesejahteraan rakyat, diperuntukkan RM45.94 juta bagi tujuan mengurus, peningkatan RM3.14 juta berbanding tahun ini.
Katanya, sebahagian besar peruntukan itu dibelanja bagi tujuan Bantuan Am berjumlah RM31 juta.
“Memahami kekangan kos sara hidup yang kian menghimpit kehidupan golongan marhaen, sukacita saya mengumumkan, kadar bantuan am yang telah pun dinaikkan RM100 pada tahun 2024, akan ditambah RM100 lagi tahun hadapan, menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima akan meningkat menjadi RM500 sebulan berkuatkuasa Januari 2025,” ujarnya.
Saarani berkata, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan mencecah RM30.22 juta untuk melaksanakan empat program kesejahteraan yang sangat akrab dengan kehidupan rakyat marhaen.
Menurutnya, empat program itu ialah kad Perak Sejahtera (RM24 juta), program bantuan kotak makanan (RM5 juta), kedai bergerak negeri Perak (RM0.82 juta) dan jualan Rahmah (RM0.4 juta).