Kementerian Kewangan mengesan kes penipuan membabitkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang cuba memohon bantuan wang tunai sebanyak RM500 itu di beberapa negeri.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Donald Lim Siang Chai berkata penerima sama dikesan cuba memohon bantuan itu di lima negeri.

"Perbuatannya dapat dikesan menerusi nombor kad pengenalan yang terdapat di dalam sistem. Rakyat Malaysia tidak sepatutnya cuba untuk menipu. Jika layak, anda boleh memohon sekali sahaja," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Mengenai pengagihan BR1M 2.0 mulai Januari depan, Lim berkata kementerian menjangkakan pemohonan meningkat 10 peratus kali ini yang turut melibatkan kira-kira 2.7 juta ibu tunggal dan individu belum berkahwin.

Beliau berkata pendaftaran akan bermula pada 1 Nov dan borang permohonan boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri iaitu www.hasil.gov.my

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam pembentangan Bajet 2013 mencadangkan sumbangan bantuan di bawah BR1M 2.0 secara tunai sebanyak RM250 kepada ibu tunggal, individu yang belum berkahwin berumur 21 dan ke atas, yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan.

Ketika ditanya kemungkinan pemberian BR1M 2.0 ini diberi lebih awal menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun depan, Lim berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pelajaran dalam masa terdekat.

"Kita memang hendak bantu rakyat yang memerlukan bantuan ini untuk digunakan oleh pelajar sekolah rendah termasuk pemberian lebih awal RM100 untuk seorang murid," katanya.