PADANG BESAR: Peniaga di Padang Besar diminta supaya bijak menggunakan peluang bagi memajukan perniagaan masing-masing apabila kegiatan ekonomi di pekan itu dijangka kembali rancak setelah pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand nanti.

Exco Penjaja dan Peniaga Kecil Perlis Azizan Sulaiman berkata, pembukaan pintu sempadan negara amat dinanti-nantikan oleh semua pihak kerana akan memberi impak positif kepada pemulihan ekonomi terutama di pekan sempadan seperti Padang Besar dan Wang Kelian.

"Saya harap peniaga kita rebut peluang ini dan tidak mengambil jalan mudah dengan menyewakan premis perniagaan milik mereka kepada warga asing bagi mendapat keuntungan yang tidak seberapa," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pekan Padang Besar dan Wang Kelian lumpuh ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 namun kembali pulih selepas pasca-PKP tahun lepas.

"Selepas kerajaan menarik balik PKP dan memberi jaminan bahawa tiada lagi PKP, kegiatan ekonomi di Padang Besar kembali pulih apabila menjadi tumpuan pelancong domestik.

"Kita harap apabila pintu sempadan kembali dibuka nanti kedatangan pelancong luar dapat merancakkan lagi kegiataan ekonomi dan pelancongan di Perlis," katanya.

Azizan berkata sebagai persiapan, kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pemantauan di sekitar Padang Besar bagi memastikan tiada peniaga haram mengambil kesempatan untuk beroperasi di kawasan yang tidak dibenarkan.

Beliau berkata walaupun negeri itu mengamalkan konsep Perlis Bebas Niaga, setiap pihak perlu mematuhi amalan 3R (keselamatan, kebersihan dan kacau ganggu) bagi mengelak sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang pemilik kedai pakaian, Rozi Mustafa, 56, berkata sewaktu PKP dikuatkuasakan pada Mac 2020, gerai-gerai di arked niaga di pekan Padang Besar telah menjalani proses pemutihan dan hanya pengusaha tempatan sahaja ditempatkan di kawasan terlibat.

"Dengan pembukaan semula pintu sempadan negara selepas ini, tak mustahil pengusaha-pengusaha dari seberang (Thailand) akan masuk kembali dan menjalankan peniagaan mereka di sini.

"Keadaan ini pastinya memberi kelebihan buat mereka memandangkan tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membawa masuk produk jualan masing-masing berbanding peniaga tempatan," katanya.

Pengurus Padang Waremart, As Ismail Hashim berkata sebelum PKP dilaksanakan, peniaga warga Thailand kebiasaannya akan menyewa gerai milik rakyat tempatan bagi menjalankan operasi perniagaan masing-masing.

Beliau berkata ketika ini, gerai-gerai jualan di sekitar kawasan itu telah diusahakan semula oleh warga tempatan memandangkan peniaga dari Thailand tidak dapat merentas sempadan negara.

"Semua gerai di sini telah penuh diisi oleh peniaga tempatan namun apa yang mungkin menjadi masalah selepas pintu sempadan dibuka nanti adalah dimanakah peniaga dari seberang ini akan menapak untuk memasarkan produk mereka.

"Jadi, tak mustahil ada dalam kalangan warga tempatan sendiri akan menyewakan gerai-gerai mereka dengan harga tinggi kepada peniaga Thailand ini kerana pihak terlibat (peniaga Thailand) tidak kisah untuk keluarkan kos yang besar asalkan dapat beroperasi semula," katanya.

-- BERNAMA