KOTA TINGGI: Kebanyakan peniaga kedai pakaian di bandar ini yang terjejas akibat banjir dan mengalami kerugian mencecah ratusan ribu, akan membuat jualan lelong pakaian mereka serendah RM5 hingga RM10.

Peniaga Kedai Kain Naim, Noor Shafina Naim, 21, berkata air yang naik sehingga paras pinggang, menenggelamkan beratus pakaian seperti baju kurung, baju Melayu dan kain pasang termasuk bekalan untuk jualan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata anggaran kerugian mencecah RM300,000 iaitu berdasarkan jumlah pakaian yang sepatutnya boleh dijual kepada pelanggan.

"Beratus baju rosak dan sebahagiannya adalah bekalan untuk jualan raya, jadi kita terpaksa buat jualan lelong serendah RM10, insya-Allah bermula esok.

"Diharapkan hasil jualan lelong itu sedikit sebanyak dapat menampung kerugian yang dialami," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Noor Shafina berkata banjir kali ini antara yang teruk melanda kedai milik bapanya itu, yang beroperasi sejak 20 tahun lepas.

"Kawasan ini memang kerap banjir. Tahun lepas dan semasa banjir besar pada 2006, kedai ini juga ditenggelami air, kali ini kami diuji lagi," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai busana Muslimah Aisyahumaira, Noriah Abd Rahman, 40, berkata banyak baju kurung termasuk untuk jualan untuk hari raya, rosak ditenggelami banjir sedalam kira-kira 0.3 meter.

"Saya rugi hampir RM100,000 apabila hanya sebahagian baju sahaja dapat dialihkan. Saya belum sempat buat kiraan berapa banyak yang rosak dan selalunya saya buat lelong serendah RM5 sahaja.

"Selain itu, kaki lima kedai turut terhakis akibat banjir, jadi saya harap pihak berwajib dapat membantu kerana kalau tidak mungkin saya kena guna modal sendiri," katanya yang berniaga di situ sejak 2007.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan pemilik kedai mula membuat pembersihan pagi tadi ekoran banjir yang melanda bandar itu pada Rabu lepas dan mula surut malam tadi.

Paras air di bandar itu mencecah satu meter ketika tinjauan dibuat pada dua hari lepas dengan hampir 90 peratus peniagaan terjejas.

-- BERNAMA