SUNGAI PETANI: Seorang peniaga wanita didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis bahan lucah.

Majistret Khairatul Animah Jelani, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ch'ng Ling Yeen, 40.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 146 bahan lucah pelbagai jenis di sebuah premis perniagaan di Taman Petani Jaya, di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari pada Jun lalu.

Oleh hal yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan  di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd Khairul Azhar Shuaib manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfarahazlinda Zahari.

Peguam yang mewakili tertuduh memaklumkan bahawa ini merupakan kesalahan pertama dilakukan tertuduh.

Katanya, tertuduh menanggung dua anak yang masih bersekolah selain perlu menyara ibu dan ibu mentua yang mempunyai masalah kesihatan. Dia juga melakukan perniagaan tersebut untuk membantu perniagaan suami yang semakin merosot.

Mohd Khairul meminta hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan untuk kepentingan awam.