BESUT: Kira-kira 50 pengusaha bot dan agensi pelancongan di Jeti Pelancongan Kuala Besut, di sini menyuarakan kebimbangan berikutan dakwaan berlaku kenaikan caj perkhidmatan dan akses ke Pulau Perhentian melibatkan pelancong asing.


Ringkasan AI
  • Pengusaha bot dan agensi pelancongan di Jeti Pelancongan Kuala Besut risau akan kenaikan caj dan akses ke Pulau Perhentian bagi pelancong asing.
  • Caj yang dijangka meningkat dari RM5 kepada RM20 bagi setiap pelancong asing telah menimbulkan kebimbangan di kalangan industri pelancongan.
  • Kenaikan caj ini disyaki boleh mengurangkan kedatangan pelancong dan memberi kesan kepada pengusaha bot yang berlesen serta ekonomi tempatan.


Setiausaha Persatuan Pengusaha Bot Pelancongan Kuala Besut, Mohd Asrul Che Rahma berkata, caj di bawah seliaan Majlis Daerah Besut itu dijangka meningkat daripada RM5 kepada RM20 bagi setiap seorang pelancong.

Menurutnya, perkembangan itu diketahui selepas gambar resit bayaran caj berkenaan ditularkan menerusi aplikasi mudah alih WhatsApp sejak Ahad.

"Setakat ini harga caj semasa bagi setiap pelancong asing yang diperkenalkan sejak tiga tahun ialah RM5 dan kami tidak pernah diberitahu akan berlaku sebarang kenaikan sehinggalah gambar resit itu ditularkan semalam.

"Jika benar berlaku kenaikan kita bimbang jumlah pelancong asing akan berkurangan kerana mereka akan rasa tertekan berdepan pelbagai bayaran.

"Selain caj kemasukan ke pulau, mereka juga dikenakan fi pemuliharaan Taman Laut sebanyak RM30 selain bayaran tambang RM70 bagi perjalanan dua hala dan cukai pelancongan RM10 untuk satu malam apabila tiba di pulau," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Isnin.

Menurutnya, setakat ini terdapat sebanyak 80 buah bot pelancong yang diusahakan oleh kira-kira 20 pengusaha di jeti berkenaan.

Mohd Asrul berkata, peningkatan caj perkhidmatan terhadap pelancong asing itu dibimbangi menyebabkan perkhidmatan bot secara haram berleluasa.

"Kita bimbang situasi ini mendorong pelancong menggunakan perkhidmatan bot yang menjalankan operasi secara haram dan ia memberikan kesan kepada pengusaha berlesen.

"Selain itu, kita juga khuatir mereka akan beralih ke pulau-pulau di negara jiran seperti Thailand yang tidak mengenakan pelbagai caj dan bayaran," ujarnya.

Sementara itu, pengusaha agensi pelancongan, Saiful Azri Ayob berkata, kenaikan caj tersebut berisiko menjejaskan kemasukan pelancong ke pulau berkenaan sekali gus menjejaskan sumber ekonomi masyarakat setempat.

"Jumlah kemasukan pelancong asing ke Pulau Perhentian sebelum ini telah merosot sekitar 60 hingga 70 peratus sejak 2020.

"Jika situasi ini berlaku, kita bimbang kedatangan pelancong luar semakin berkurangan dan kita perlu memikirkan bagaimana usaha untuk tarik lebih ramai lagi pelancong ke sini," katanya.

Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada Majlis Daerah Besut berhubung perkara ini. - Sinar Harian