KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu pengurusan pelabuhan negeri bersedia untuk melakukan pemodenan, berinovasi dan menerima pakai teknologi baharu.

Hal ini katanya selari dengan aspirasi Sarawak menjadi masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2030, selain sektor pelabuhan memainkan peranan penting.

“Rancangannya adalah untuk kita mengeksport lebih banyak produk makanan pada masa itu. Oleh itu, pelabuhan akan menjadi komponen yang sangat penting dalam pembangunan,” katanya semasa melawat Pelabuhan Senari dekat sini pada Jumaat.

Lawatan itu merupakan lawatan pertama beliau ke sebuah pelabuhan selepas dilantik sebagai Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan dalam kabinet baharu selepas Pilihan Raya Negeri ke-12 baru-baru ini.

Tambah Uggah, proses pemodenan itu termasuklah dari aspek gaya pengurusan baharu dan menambah baik atau mempertingkatkan kesemua fasiliti penting.

Uggah berpendapat bahawa pelabuhan di negeri ini mempunyai potensi dan boleh bersaing dengan pelabuhan lain di rantau ini.

Dalam pada itu, menyentuh hal Pelabuhan Senari yang dikendalikan Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA), beliau berkata ia perlu mencari jalan untuk meningkatkan produktiviti, dalam masa sama bersedia dengan perancangan untuk menghadapi cabaran baharu.

Turut hadir semasa lawatan ialah Pengerusi Pelabuhan Awang Bemee Awang Ali Basah, Pengurus Besar KPA Robert Lau Hong Thiam yang memberi taklimat mengenai aktiviti pelabuhan dan program pembesarannya, selain kedua-dua menteri mudanya Datuk Majang Renggi dan Ir. Aidel Lariwoo, serta setiausaha tetap kementeriannya Datuk Safri Zainudin.