IPOH: Seorang pengurus syarikat berkaitan pertanian mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menipu dalam membekalkan kambing import kepada Jabatan Veterinar (JPV) Perak, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaharani Firdauz Abd Ghani, 38 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah secara tidak jujur memperdayakan Pengarah JPV Perak, Ahmad Shafri Hassan dengan mendorong beliau untuk mempercayai satu dokumen Invois MMLA Agri bertarikh 10 Disember 2021.

Invois tersebut dikemukakan bagi tuntutan perkhidmatan membekal dan menghantar ternakan kambing tenusu, kambing pedaging dan bebiri bersertifikasi diimport untuk Projek Subsektor Ternakan Daerah Perak Tengah, Program Pembangunan Jajaran Sungai Perak Tahun 2020, JPV Perak sedangkan kambing yang dibekalkan adalah kambing tempatan dan bukan besertifikasi diimport.

Oleh itu tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong Ahmad Shafri meluluskan sejumlah bayaran bagi tuntutan tersebut yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di JPV Perak, Jalan Sultan Azlan Shah (U) pada 14 Disember 2021.

Berdasarkan fakta kes, Pengarah JPV Perak telah meluluskan pembayaran berjumlah RM836,798 kepada syarikat tertuduh berdasarkan dokumen invois yang diterima pada 15 Disember 2021 dan wang tersebut telah dimasukkan di dalam akaun syarikat tertuduh pada hari berikutnya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM10,000 dan penjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.